Harga minyak jatuh, OPEC+ tangguh mesyuarat | DagangNews Skip to main content

Harga minyak jatuh, OPEC+ tangguh mesyuarat

 

 

 


SINGAPURA 2 Dis. - Harga minyak terus mencatat kerugian pada Rabu, selepas peningkatan mendadak dalam inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS). 

 

Pada masa sama, tindakan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya juga terus menimbulkan tanda tanya dalam pasaran apabila menangguhkan mesyuarat yang akan membuat keputusan sama ada untuk meningkatkan pengeluaran atau tidak pada Januari ini. 

 

Menurut Reuters, niaga hadapan minyak Brent susut 27 sen atau 0.6% kepada AS$47.15 setong setakat 0131 GMT manakala West Texas Intermediate jatuh 29 sen atau 0.7% kepada AS$44.26 setong. 

 

Data Institut Petroleum AS menunjukkan inventori minyak mentah AS meningkat 4.1 juta tong minggu lalu berbanding pengurangan 2.4 juta tong, mengikut jangkaan penganalisis dalam kaji selidik yang dijalankan Reuters.

 

Sumber memberitahu, jumlah itu meningkat selepas OPEC, Rusia dan sekutunya yang lain, dengan kumpulan dikenali OPEC+ menangguhkan perbincangan mengenai dasar-dasar pengeluaran minyak pada tahun hadapan kepada Khamis daripada Selasa sebelum ini. 

 

Awal tahun ini, kumpulan ini mengurangkan pengeluaran sehingga 7.7 juta tong sehari (bpd) apabila pandemik COVID-19 menjejaskan permintaan minyak mentah. 

 

Malah, pengurangan ini dijangka berterusan antara Januari hingga Mac 2021 memandangkan jangkitan wabak ini semakin meningkat. 

 

Penganalisis ANZ berkata, terdapat risiko yang tinggi OPEC+ tidak akan mencapai persetujuan ini. 

 

"Lonjakan COVID-19 akan menyebabkan perintah berkurung dilaksanakan di Eropah dan AS. Lebihan dalam pasaran mungkin meningkat antara 1.5 hingga 3 juta bpd pada separuh pertama 2021, jika mereka tidak mengurangkan pengeluaran," katanya. 

 

Minggu ini, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan akan menyokong sebarang langkah peralihan, tetapi ia akan terus mempertahankan pengurangan pengeluaran pada 2021. 

 

Dalam pada itu, pengeluaran minyak yang dibekukan di Norway (bukan anggota OPEC+) akan berakhir 31 Disember ini dijangka terus memberi tekanan kepada kelembapan harga minyak. - DagangNews.com