Harga minyak sawit dijangka kekal tinggi pada separuh kedua 2022 | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit dijangka kekal tinggi pada separuh kedua 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - Kenanga Research menjangkakan harga minyak sawit akan kekal tinggi pada separuh kedua 2022 didorong oleh beberapa faktor termasuk kekurangan minyak makan lain di dalam pasaran.

 

Firma itu berkata, walaupun bekalan kacang soya dijangka semakin pulih pada separuh kedua namun bekalan minyak makan masih kurang dan pemulihan sepenuhnya dijangka berlaku pada 2023.

 

Katanya, gangguang aktiviti sosial akibat COVID-19 bagaimanapun mengganggu rantaian bekalan tetapi permintaan terhadap bekalan minyak makan global tetap menunjukkan permintaan.

 

"Risiko kekurangan bekalan minyak sawit juga semakin tinggi keranan kekurangan tenaga pekerja di Malaysia.

 

"Tempoh puncak menuai adalah semakin hampir dan kumpulan tenaga kerja baharu masih belum tiba. 

 

"Sekiranya perkara itu berlanjutan, sebahagian daripada buah yang masak mungkin tidak dapat dituai dan menyebabkan bekalan minyak sawit menjadi lebih rendah daripada jangkaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menjangkakan, pengeluaran untuk Jun adalah sekitar 1.52 juta tan metrik (peningkatan 4% dari bulan ke bulan dan penurunan 0.3% dari tahun ke tahun) kerana bulan Mei mencatatkan penurunan akibat sambutan Hari Raya Aidilfitri.

 

Katanya, harga dijangka menjadi lebih baik ekoran bekalan menjadi semakin stabil.

 

"Malaysia akan menyaksikan kadar eksport yang lebih perlahan pada Jun dan inventori yang lebih tinggi berikutan keputusan Indonesia menarik balik larangan eksport pada 23 Mei 2022," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu dan mengekalkan saranan 'outperform' untuk Kuala Lumpur Kepong dengan harga sasaran (TP) RM30.00 selepas mengambil kira perkembangan yang stabil pada FY22E serta aktiviti hulan yang cekap. - DagangNews.com