KUALA LUMPUR 1 Julai - Harga minyak sawit akan kembali pulih pada separuh kedua tahun ini setelah beberapa bulan prestasi ‘bull run’ industri itu dilumpuhkan oleh pandemik Covid-19 sekali gus meningkatkan permintaan global dengan kadar pengeluaran dikurangkan.
Menurut Bloomberg, Minyak Sawit Malaysia (MPOC) turut menjangkakan harga minyak sawit mencecah sehingga RM2,594 (AS$ 605) bagi setiap tan untuk separuh kedua dan RM2,337 bagi keseluruhan tahun 2020.
Jangkaan itu mampu dicapai sekiranya Indonesia dan Malaysia meneruskan perancangan percampuran biodiesel mereka di samping biji minyak Eropah dikeluarkan secara sederhana sekali gus memberi laluan buat pembeli untuk beralih kepada minyak sawit.
Untuk rekod, niaga hadapan Malaysia yang kini mencatatkan penanda aras sekitar RM2,318 mencanak naik pada penghujung tahun 2019, sebelum menjunam disebabkan jangkitan Covid-19 berikutan seluruh dunia bertindak menutup sempadan negara dan bisnes bagi membendung wabak berkenaan.
Susulan itu, harga minyak sawit mulai jatuh pada Januari dan merosot ke paras 10 bulan terendah iaitu sebanyak RM 1,946 satu tan pada 6 Mei lalu. Dalam masa sama, hasil buah dan simpanan stok yang sedang meningkat serta program-program biodiesel dikawal ketat oleh kedua-dua negara Indonesia dan Malaysia.
Penganalisis ekonomi veteran, Dorab Mistry menggambarkan situasi itu sebagai ‘musim ngeri’ yang dialami oleh industri minyak sawit sama ada bagi Malaysia mahupun negara-negara yang terlibat.
Apatah lagi dengan wabak pandemik Covid-19 yang tidak diketahui bilakah penghujungnya dan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat bakal memburukkan prospek harga minyak sawit seluruh dunia.
Ketika harga minyak sawit dijangka meningkat, penghasilan buah berkenaan menurun susulan cuaca panas dan kering. Pengeluaran sawit Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun yang dijangka menyumbang kepada 60% hasil tahunan mungkin akan berkurangan.
Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pengeluaran sawit di negara ini mungkin menurun sehingga 4.3% kepada 19 juta tan kerana tekanan biologi pada pokok dan bekalan tenaga kerja yang terhad.
Bagaimanapun, pemilik Palm Oil Analytics Singapura, Sathia Varqa percaya bahwa Malaysia akan meraih keuntungan memandangkan kerajaan India dan China bersikap terbuka terhadap harga minyak sawit negara yang lebih rendah daripada kadar harga Indonesia dan hubungan perdagangan antara Malaysia serta India ketika ini semakin memberangsangkan.
Dalam pada itu, penggunaan minyak yang boleh dimakan akan kembali mendapat sambutan, sementara permintaan oleokimia akan meningkat kerana digunakan dalam produk kebersihan diri seperti sabun dan pembersih tangan, serta alat perlindungan diri. - DagangNews.com