Harga minyak sawit mentah dijangka berada antara RM3,700 hingga RM4,100 setiap tan menjelang 2024 - MARC | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah dijangka berada antara RM3,700 hingga RM4,100 setiap tan menjelang 2024 - MARC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - Pasaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka menunjukkan aliran harga menaik antara RM3,700 hingga RM4,100 bagi setiap tan menjelang 2024, kata  Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC).

 

Firma penarafan itu berkata, pasaran minyak makan kini sedang pulih daripada tekanan jualan yang besar yang disaksikan oleh minyak bunga matahari sejak beberapa bulan lalu.

 

"Trend pengeluaran bermusim, keadaan iklim yang lebih panas, dan permintaan yang meningkat untuk bahan api bio dijangka memberi tekanan menaik ke atas harga minyak sawit.

 

"Harga minyak makan tidak menentu sejak beberapa tahun lalu didorong oleh gabungan faktor, termasuk sekatan eksport, kekurangan buruh, dan konflik Rusia-Ukraine, mengakibatkan bekalan minyak makan yang lebih rendah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dalam tempoh terdekat, MARC Rating berkata, kekangan bekalan dijangka meningkatkan harga minyak sawit.

 

Katanya, pengeluaran MSM merosot selepas memuncak pada September atau Oktober, dengan suku pertama tahun itu mempunyai pengeluaran terendah.

 

"Trend bermusim pengeluaran yang lebih rendah ini akan mengurangkan inventori minyak sawit, memberikan tekanan ke atas harga, terutamanya pada suku pertama 2024.

 

"Tambahan pula, keadaan cuaca El Nino yang lebih panas dan kering di Asia Tenggara memberi kesan kepada Indonesia, pengeluar MSM terbesar," katanya.

 

MARC berkata, negara pengeluar minyak sawit utama seperti Malaysia dan Indonesia, berlaku lebihan dalam pertumbuhan kawasan ladang kelapa sawit, penyusutan kawasan ladang kelapa sawit yang tidak matang, dan pokok matang yang tidak produktif akan menghalang pertumbuhan pengeluaran keseluruhan.

 

Dari segi permintaan, ia berkata penggunaan biodiesel akan menjadi faktor pendorong.

 

“Dengan keadaan cuaca El Nino yang berterusan, kesan bermusim, dan perbezaan harga, harga minyak sawit mentah dijangka meningkat sedikit dalam tempoh terdekat.

 

"Terdapat risiko peningkatan positif yang boleh menyebabkan harga dikekalkan melebihi RM4,000 setaiap seperti pengeluaran biji soya dan bunga matahari yang lebih rendah daripada jangkaan, serta penumpuan teknikal antara harga minyak sawit dan kacang soya yang akan mengecilkan jurang diskaun," katanya.- DagangNews.com