Harga minyak sawit mentah dijangka meningkat selepas 28 April 2022 kesan larangan eksport Indonesia | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah dijangka meningkat selepas 28 April 2022 kesan larangan eksport Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - AmInvestment Bank Berhad menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) akan melonjak selepas 28 April 2022 kesan daripada perintah larangan eksport minyak masak dan bahan mentah berkaitan kelapa sawit oleh kerajaan Indonesia.

 

Firma itu berkata, berdasarkan kepada laporan Reuters, Indonesia mengambil keputusan itu bagi membolehkan mereka memantau dan menilai semula polisi eksport negara itu sehingga mereka memiliki bekalan minyak masak yang banyak dan mampu dimiliki.

 

Pihaknya percaya, syarikat perladangan Indonesia akan berusa mengeksport sebanyak mungkin bekalan mereka sebelum traikh akhir yang ditetapkan.

 

"Kami percaya harga domestik MSM di Indonesia akan menjunam akibat berlakunya lebihan bekalan selain berlaku ketidaktentuan mengenai pelaksanaan dasar biodiesel B30 kerana ketiadaan wang daripada levi eksport MSM dan tiada subsidi akan diberikan.

 

"Syarikat perladangan seperti Wilmar International dan Golden Agri Resources tidak akan dapat mengeksport produk kelapa sawit mereka dan ia akan melebarkan jurang harga MSM antara Malaysia dan Indonesia yang ketika ini berada pada paras RM1,000 bagi setiap tan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Eksport kelapa sawit Indonesia bernilai AS$28.5 bilion (RM123.92 bilion) pada 2021 dan pada Mac 2022, Agensi Pengurusan Dana Perladangan Kelapa Sawit Indonesia berkata sejumlah AS$4 bilion (RM17.39 bilion) akan diperuntukkan untuk biodiesel pada 2022F.

 

Agensi itu berjaya mengumpul AS$4.9 bilion (RM21.31 bilion) daripada levi MSM pada 2021 dan pada 1QFY22, mereka meraih AS$861.8 juta (RM3.7 bilion) untuk levi eskport.

 

"Langkah kerajaan Indonesia itu akan menyaksikan penurunan sumber pendapatan dan tiada sebarang subsidi akan diberikan kepada biodiesel," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'underweight' untuk sektor berkenaan buat masa sekarang kerana terdapat kemungkinan Indonesia akan menyemak semula polisi mereka sebagai usaha untuk mencari pendekatan terbaik dalam menyediakan bekalan minyak masak yang mencukupi tanpa berkompromi dengan hasil eksport.

 

"Kami juga akan menilai semua jangkaan harga MSM untuk 2022F yang berada pada paras RM4,000 untuk satu tan," katanya. - DagangNews.com