Harga minyak sawit mentah dijangka turun kepada RM2,400 setiap tan bulan ini | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah dijangka turun kepada RM2,400 setiap tan bulan ini

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Harga minyak sawit mentah (CPO) diunjur cecah paras RM2,400 hingga RM2,800 bagi satu tan pada September 2020.

Hal ini berikutan tempoh pengeluaran tertinggi komoditi itu pada Ogos hingga Disember mungkin tidak mampu mencapai kadar memberangsangkan kerana masalah buruh yang dihadapi di Malaysia dan isu cuaca di Indonesia.

CGS-CIMB Research berkata, pada bulan lalu, purata harga CPO meningkat sebanyak 12% berbanding Julai pada kadar RM2,815 bagi satu tan susulan tercetusnya kebimbangan terhadap tahap inventori minyak sawit yang rendah di Malaysia dan Indonesia.

“Dengan andaian bekalan minyak sawit akan meningkat pada suku keempat 2020 (4Q20), kami percaya harga CPO juga bakal meningkat. Ini berikutan kebimbangan terhadap inventori komoditi itu mula reda dan mandat B30 (di Indonesia) mungkin sukar untuk dilaksanakan selepas 2020 kerana kekurangan dana.

“Jadi, kami kekalkan neutral terhadap industri ini dengan Genting Plantation Berhad, Hap Seng Plantations Holdings Berhad dan Ta Ann Holdings Berhad pilihan utama (top picks) kami,” jelas analisis CGS-CIMB.

Pengeluaran kelapa sawit pada bulan Ogos mungkin telah mengurangkan kebimbangan terhadap isu kekurangan pekerja di ladang Malaysia kerana jumlah buruh asing yang terhad. 

Tetapi, hasil tinjauan pasukan CGS-CIMB Futures mendapati para pekebun bimbang keadaan mungkin menjadi lebih teruk kerana ada buruh asing yang memilih untuk pulang ke negara asal dan tidak dapat kembali ke Malaysia kerana sekatan perjalanan.

Pada bulan Ogos, CGS-CIMB menganggarkan eksport minyak sawit menurun sebanyak 14% berbanding Julai dan menurun 12% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 1.53 juta tan.

Sebelum ini, purata eksport minyak sawit pada bulan Ogos selama 10 tahun berada pada paras 1.54 juta tan.

“Kami berpendapat penurunan ini didorong oleh kebimbangan terhadap kemampuan pengguna di negara berpendapatan rendah untuk membelinya serta daya maju ekonomi mandat biodiesel (B30) Indonesia setelah harga CPO melonjak dari paras rendah RM2,021 pada 6 Mei hingga mencecah RM2,885 setiap tan pada 2 September (naik 43%),” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com