Harga minyak sawit mentah diunjur pada purata RM3,800 setiap tan bagi 2023 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah diunjur pada purata RM3,800 setiap tan bagi 2023 - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - MIDF Research mengekalkan unjuran purata harga minyak sawit mentah (MSM) pada paras RM3,800 bagi setiap tan bagi tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu juga mengakui bahawa fenomena El Nino akan menjadi pemangkin kepada harga MSM kekal tinggi antara RM3,800 hingga RM4,200 bagi setiap tan pada tahun hadapan.

 

"Bagaimanapun, kami bimbang terhadap permintaan yang rapuh akibat tekanan inflasi selain perbelanjaan isi rumah yang ketat pada kadar faedah asas yang tinggi dalam negara dan global.

 

"Stok penutup minyak sawit sehingga kini di negara pengimport utama telah mencapai kadar sebelum pandemik seperti India (4.2 juta tan), China (5.7 juta tan), Pakistan (2.7 juta tan) dan Bangladesh (1 juta tan).

 

"Oleh itu, kami menjangkakan permintaan akan menjadi perlahan bagi baki tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Stok minyak sawit Malaysia meningkat 9.6% kepada 2.31 juta tan pada September 2023 - MPOB

 

MIDF Research berkata, pada September, harga penghantaran MSM domestik susut kepada RM3,687 satu tan dan purata bulanan lebih rendah pada RM3,727 setiap tan diheret oleh keyakinan terhadap pengeluaran peringkat domestik.

 

Katanya, harga September meningkat sebanyak 3.7% dari bulan ke bulan atau kepada paras RM3,945 satu tan (disebabkan oleh bulan yang lebih kering), namun cuaca yang menggalakkan telah menghakis keuntungan dan harga melemah sejajar dengan peningkatan produktiviti ladang.

 

"Kami mengunjurkan purata harga penghantaran MSM tempatan akan ditutup sebanyak 4.4% lebih tinggi kepada RM3,891 setiap tan pada Oktober," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral'  dengan harga sasaran MSM sebanyak RM3,800 bagi 2023dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) merupakan pilihan utama dengan harga sasaran (TP) RM24.60 sesaham.- DagangNews.com