Harga minyak sawit mentah diunjur RM3,700 satu tan, lebih rendah berbanding 2023 | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah diunjur RM3,700 satu tan, lebih rendah berbanding 2023

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan unjuran purata harga jualan (ASP) minyak sawit mentah (MSM) pada paras RM3,700 satu tan untuk tahun 2024, lebih rendah berbanding RM3,830 satu tan pada tahun lalu.

 

Penganalisis Maybank IB, Ong Chee Ting berkata, jangkaan ini berdasarkan peningkatan jumlah pengeluaran kacang soya di Amerika Selatan selain kos pengeluaran tahun ke tahun yang lebih rendah.

 

"Harga MSM dijangkakan mencatatkan permulaan yang baik pada suku pertama 2024 (1Q24) disebabkan kitaran musim pengeluaran lebih rendah yang berterusan sehingga separuh kedua 2024," katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

 

Menerusi nota tersebut, penganalisis Maybank IB itu turut menggariskan beberapa perkara utama yang perlu diberi perhatian untuk sektor perladangan pada tahun ini iaitu:

  • Ketidaktentuan cuaca 
  • Kebimbangan kemelesetan berlarutan 
  • Semakan cukai

 

Mengulas hal cuaca, Chee Ting mengaitkan dengan ketidakpastian jangkaan pengeluaran benih soya disebabkan El Nino yang sedang melanda ketika ini dan hanya dijangkakan berakhir sekitar awal 2024.

 

Katanya, jika keadaan cuaca di Brazil masih tidak menunjukkan perubahan dalam tempoh dua bulan akan datang, ini akan menyebabkan harga soya meningkat yang sekali gus memanfaatkan harga MSM secara tidak langsung.

 

Chee Ting dalam pada itu, menggariskan tiga situasi global yang mencetuskan kebimbangan kemelesetan ekonomi iaitu kesan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang tinggi, peperangan Rusia-Ukraine serta Israel-Hamas dan kedudukan ekonomi kebanyakan negara yang menyebabkan ketidaktentuan kepada permintaan global.

 

"Permintaan yang lebih rendah berbanding jangkaan akan mengundang kepada stok simpanan MSM yang lebih tinggi daripada diunjurkan sekali gus mengheret kepada harga MSM yang lebih rendah," jelasnya.

 

Perkara yang perlu diberi perhatian seterusnya ialah mengenai semakan semula cukai yang mana menurut Maybank IB, Kerajaan Malaysia sedang melakukan kajian menyeluruh berhubung cukai terhadap sektor sawit yang dijangkakan siap dalam tahun ini.

 

Antara perkara yang diminta sektor perladangan ialah semakan semua levi keuntungan durian runtuh, kata Chee Ting.

 

Pada masa ini levi dikenakan pada kadar 3% ke atas harga minyak sawit melebihi RM3,000 satu tan di Semenanjung dan pada kadar 3% ke atas harga minyak sawit melebihi RM3,500 satu tan di Sarawak dan Sabah.- DagangNews.com