Gambar sumber YouTube IOI Corporation Berhad
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Mei - Syarikat perladangan, IOI Corporation Berhad dijangka mencatatkan prestasi bagi suku keempat tahun kewangan 2021 (4QFY21) yang lebih baik dipacu oleh harga minyak sawit mentah (MSM) dan pengeluaran yang lebih tinggi.
Disebabkan itu, CGS-CIMB Research masih mengekalkan unjuran perolehan IOI Corporation bagi suku tahun berkenaan walaupun keuntungan bersihnya bagi 3QFY21 menyusut bagi perbandingan suku ke suku (q-o-q).
Jelas CGS-CIMB, IOI Corporation positif terhadap prospek keuntungan huluannya bagi 4QFY21 kerana harga MSM yang tinggi, namun menjangkakan bahagian hiliran akan menerima impak negatif susulan kos stok suapan yang lebih tinggi.
“Kami kekalkan penarafan ‘pegang’ memandangkan stok dinilai adil dan kami melihat terdapat sokongan daripada program beli balik sahamnya.
“Pada sembilan bulan pertama FY21 (9MFY21), kumpulan membeli semula 3.3 juta saham pada purata harga RM4.23 sesaham.
“Faktor peningkatan utama adalah harga MSM lebih tinggi dan pendapatan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang meningkat. Risiko penurunan pula kadar hasil tandan buah segar (FFB) dan margin hiliran yang lebih lemah,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.
Firma itu bagaimanapun menurunkan harga sasaran (TP) IOI Corporation kepada RM4.41 sesaham.
Bagi CGS-CIMB, keuntungan bersih 9MFY21 bernilai RM714 juta yang dicatatkan IOI Corporation seiring unjurannya.
Kumpulan itu menyaksikan keuntungan bersih bagi 3QFY21 menyusut 10% dari segi perbandingan q-o-q, namun berkembang 38% bagi perbandingan tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM249 juta.
Ini merupakan keuntungan suku ketiga tertinggi sejak 2016 didorong oleh harga MSM yang lebih tinggi.
Setakat 10.35 pagi, harga saham IOI Corporation menokok 0.02 sen kepada RM4.12. - DagangNews.com