Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Feb. - Kenaikan harga minyak mentah global terus menyokong mata wang tempatan apabila ringgit kembali mengukuh dalam dagangan pagi ini.
Ringgit dibuka pada RM4.0350/0400 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, HLIB Research menjangkakan ringgit meneruskan aliran penurunan dalam sesi hari ini setelah ditutup rendah 0.2% berbanding RM4.0370 dalam dagangan Selasa, menamatkan 6 hari kenaikan berturut-turut.
Katanya, ini kerana dolar AS akan terus mengukuh merentasi mata wang utama yang lain ekoran peningkatan hasil AS akan terus menyokong kedudukan dolar AS/ringgit dalam tempoh terdekat.
"Namun, kenaikan harga minyak mentah global akan kekal mempengaruhi nilai dolar AS/ringgit.
"Tetapi, kesan ini semakin pudar disebabkan pengukuhan mata wang utama itu jika penjualan perbendaharaan AS bersambung semula. Hasil perbendaraan AS 10 tahun dijangka mencecah 1.5%," katanya dalam nota kajian.
Firma itu mengekalkan pandangan neutral kepada mengukuh bagi dolar AS/ringgit bagi baki dagangan dalam minggu ini.
Semalam, ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS didorong oleh aktiviti pengambilan untung yang berterusan selepas meningkat baru-baru ini dan prospek berhati-hati mengenai harga minyak dunia.
Gangguan bekalan minyak mentah di selatan AS berikutan letupan Artik diimbangi oleh jangkaan bahawa Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) akan mengurangkan sekatan pengeluaran selepas April.
Menurut AmBank Research, harga minyak mentah meningkat untuk minggu kedua berturut-turut.
Brent menokok 1.56% kepada AS$64.34 setong manakala West Texas Intermediaten (WTI) naik 1.82% kepada AS$61.14 setong. Kedua-duanya masih berlegar pada paras tertinggi setahun.
"Kami menjangkakan ringgit hari ini diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0255 dan RM4.0325 manakala paras rintangan ditambat pada RM4.0477 dan RM4.0561," katanya. - DagangNews.com