Harga MSM boleh cecah paras setinggi RM5,200 satu tan metrik pada Q12022 | DagangNews Skip to main content

Harga MSM boleh cecah paras setinggi RM5,200 satu tan metrik pada Q12022

 

 

 

KUALA LUMPUR 29 Dis - Harga minyak sawit mentah mungkin meneruskan peningkatan sehingga awal 2022 apabila masalah kekurangan tenaga buruh yang kronik dan hujan lebat di kawasan penamanan utama menjejaskan pengeluaran minyak masakan yang paling banyak digunakan dunia itu. 

 

Ini boleh menyebabkan harga MSM meningkat selepas mencecah paras tertinggi tahun ini dengan penanda aras niaga hadapan melonjak ke paras penutup tertinggi dalam sejarah pada RM5,071 satu tan metrik.

 

Walaupun Malaysia berusaha mempercepatkan ketibaan pekerja asing bagi sektor perladangan, tetapi penularan varian Omicron boleh menjejaskan perancangan tersebut, sekali gus mengehadkan penuaian dan mengekalkan kekangan bekalan. 

 

Dalam laporan Bloomberg hari ini, Ketua Dagangan dan Strategi Lindung Nilai Kaleesuwari Intercontinental di Mumbai, Gnanasekar Thiagarajan berkata, harga MSM mungkin mencecah paras tertinggi sekitar RM5,200 satu tan metrik pada suku pertama 2022 (Q12022) sekiranya kekangan bekalan masih berterusan pada musim pengeluaran rendah dan permintaan musim perayaan Tahun Baharu Cina. 

 

"Tetapi, bagi suku berikutnya, harga akan ditekan oleh bekalan dan boleh menurun ke paras RM3,975 atau lebih rendah lagi," katanya. 

 

Sementara itu, pengasas Palm Oil Analytics di Singapura, Sathia Varqa berkata, kekurangan pengeluaran di Malaysia, yang mencetuskan peningkatan harga sawit tahun ini dijangka berterusan sehingga awal 2022 memandangkan syarikat perladangan mungkin tidak menerima pekerja baharu sebelum pertengahan tahun. 

 

Katanya, ia akan mengekang pengeluaran dan berpotensi meningkatkan niaga hadapan penanda aras pada Januari dan Februari.

 

"Sekiranya janji ini dipenuhi, kita akan menyaksikan peningkatan pada Mei hingga Jun. Ini akan meningkatkan pengeluaran dengan ketara. Output dijangka meningkat 6% kepada 19.2 juta tan metrik pada tahun hadapan jika para pekerja kembali," jelasnya. 

 

Bagaimanapun, unjuran tersebut masih bergantung kepada varian Omicron. Penularan varian baharu COVID-19 akan menyaksikan sekatan pergerakan dan perjalanan dilaksanakan semula, sekali gus menghalang kemasukan pekerja baharu ke ladang.

 

Pada masa sama, laporan itu juga menunjukkan, tumpuan kini kepada La Nina, cuaca yang menyebabkan keadaan lebih kering di kawasan penanaman utama Amerika Selatan dan hujan lebih lebat di kawasan ladang Indonesia dan Malaysia, selain ke Australia.

 

Pelabur industri pertanian bimbang ancaman La Nina akan menjejaskan pasaran makanan global dalam beberapa bulan akan datang kerana ia sudah pun menjejaskan sebahagian kawasan di Brazil dan Argentina, pengeluar utama pesaing sawit, iaitu kacang soya.

 

Di Malaysia, hujan berterusan menenggelamkan sebahagian kawasan di Pahang dan Selangor bulan ini, menjejaskan penuaian dan logistik estet sawit, selain menyebabkan operasi di Pelabuhan Klang, yang juga pelabuhan kedua terbesar di Asia Tenggara selama beberapa hari.

 

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan monsun akan menyebabkan hujan lebih lebat sehingga 2 Januari ini.

 

Ini menunjukkan masalah kekurangan pekerja bukan satu-satunya penyebab pengeluaran terjejas.

 

Dalam pada itu, kenaikan harga baja akan mendesak pengeluar, khususnya pekebun kecil mengurangkan penggunaan nutrien untuk sawit dan berpotensi menjejaskan pemulihan pengeluaran.

 

Pengarah Perladangan ASEAN, UOB Kay Hian, Leo Huey Chuen berkata, kos pengeluaran minyak sawit berdasarkan harga fertilizer semasa dianggarkan 15 hingga 20% lebih tinggi pada 2022 berbanding setahun lalu. 

 

"Harga MSM yang tinggi mungkin mengimbangi kos yang tinggi, tetapi mendapatkan baja untuk dihantar tepat pada masanya adalah satu lagi cabaran," katanya.

 

Dari segi permintaan pula, harga minyak sawit yang tinggi boleh mendorong inflasi makanan dan menghakis permintaan daripada pembeli utama iaitu India dan China. 

 

Malah, dengan kelapa sawit yang semakin mahal, pengurangan kepada minyak saingan akan diperhati dengan teliti oleh pembeli yang sensitif harga dan mungkin bertukar kepada minyak sayuran lain. - DagangNews.com