KUALA LUMPUR 11 Julai - Purata harga pasir dan batu baur pada Jun 2024 mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 13.8% dan 4.4% berbanding bulan sama setahun lalu (YoY).
Menurut Indeks Kos Bahan Binaan Jun 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata harga pasir berada pada RM48.45 setiap tan manakala batu baur RM44.41 setan.
Kata DOSM, turut mencatatkan peningkatan harga pada Jun ialah simen (Ordinary Portland) yang direkodkan berharga RM23.10 bagi sekarung 50 kilogram, 1,1% lebih mahal berbanding YoY atau 0.3% perbandingan bulan ke bulan (MoM).
"Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars pula kekal tidak berubah berbanding Mei 2024 dengan purata harga RM3,730.49 bagi setiap tan metrik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 0.1% hingga 2.1% bagi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Katanya, peningkatan tertinggi di kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (2.1%), diikuti dengan Pahang (1.6%) dan Kuching (0.1%).
Selain daripada itu, ujar beliau, indeks harga seunit batu baur merekodkan peningkatan antara 0.4% hingga 0.6% bagi kebanyakan kawasan pada Jun 2024 berbanding bulan lepas.
"Peningkatan tertinggi dicatatkan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis dan Kota Kinabalu (masing-masing 0.6%)," jelasnya.
Ketua Perangkawan Malaysia turut menyatakan bahawa perbandingan bulanan mencatatkan peningkatan kecil dalam indeks harga seunit besi bagi beberapa kawasan.
"Peningkatan tertinggi di kawasan Sibu (0.4%), Kota Kinabalu (0.2%) dan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (0.1%).
"Namun begitu, indeks harga seunit bagi bahan ini merekodkan penurunan di kawasan Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (-0.8%) dan diikuti dengan Terengganu & Kelantan (-0.1%)," ujarnya.
Jelas Dr Mohd Uzir, perbandingan bulanan turut mencatatkan indeks seunit harga struktur keluli dan logam kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Jun 2024.
Namun begitu, katanya, terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan ini di kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (-0.7%), diikuti dengan Kuching (-0.6%) dan Kota Kinabalu (-0.2%).
"Perbandingan tahunan untuk tempoh Jun 2023 dan Jun 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen meningkat antara 0.4% hingga 4.7% bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
"Peningkatan tertinggi direkodkan di kawasan Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (4.7%), diikuti dengan Tawau (2.2%), Pulau Pinang, Kedah & Perlis (2.0%) dan Pahang (1.6%).
"Indeks harga seunit besi pula mencatatkan penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 5.3% pada Jun 2024 berbanding bulan yang sama tahun lalu bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Namun begitu, terdapat peningkatan bagi indeks bahan ini di Kuching (0.5%) dan Johor (0.7%)," katanya. - DagangNews.com