Harga pengguna dijangka terus meningkat - MIDF | DagangNews Skip to main content

Harga pengguna dijangka terus meningkat - MIDF

Gambar FAMA

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Harga pengguna dijangka terus meningkat pada masa akan datang ekoran kadar inflasi indeks harga pengeluar (IHPR) yang tinggi ketika ini.

 

Ini susulan para pembekal perkhidmatan dan barangan akan ‘melepaskan’ beban peningkatan kos ke atas pengguna, menurut MIDF Research.

 

“Ini juga menjelaskan mengapa harga makanan yang dibayar oleh pengguna terus meningkat, di mana mungkin disebabkan oleh kos pemberian makanan dan harga komoditi yang kian meningkat. 

 

“Sementara itu, kekurangan komponen dan tenaga buruh juga antara isu yang dihadapi perniagaan. Secara keseluruhannya, kesan asas rendah juga akan melonjakkan harga pengeluar lebih tinggi pada tahun ini, terutamanya pada suku kedua 2021 (2Q21)," jelas firma itu dalam satu nota kajian. 

 

Hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) mengumumkan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur inflasi utama meningkat 4.4% pada Mei 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan IHP keseluruhan itu adalah disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada tahun lalu yang menyaksikan peningkatan ketara terutama dalam kumpulan Pengangkutan (26.0%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (3.2%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (2.1%) dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.5%).

 

MIDF mengekalkan unjuran inflasi IHP pada kadar 2.3% bagi sepanjang tahun ini.

 

Jelas firma itu, tekanan inflasi pada tahun lalu secara umumnya mendatar susulan permintaan yang lemah dan harga minyak mentah rendah, terutamanya pada separuh pertama tahun 2021 (1H21). 

 

Walaupun rebat elektrik berterusan hingga Jun tahun ini, namun bagi MIDF, kuantum yang diberikan lebih rendah daripada tahun lalu. 

 

Selain daripada kesan asas rendah, tekanan inflasi juga dijangka meningkat ekoran fiskal dan dasar monetari yang makin berkembang, harga komoditi lebih tinggi dan permintaan kembali melonjak seiring pemulihan ekonomi, tambah MIDF.

 

“Bagaimanapun, pelaksanaan ‘lockdown’ penuh ketika ini akan menjejaskan permintaan seketika, seterusnya mengelakkan harga daripada meningkat. 

 

“Namun, pengedaran vaksin yang berjaya seiring pengurangan jangkitan COVID-19 yang akan menamatkan sekatan pergerakan secara berperingkat akan menambah baik sentimen seterusnya menggalakkan perbelanjaan pada masa akan datang,” jelas MIDF lanjut. - DagangNews.com