Harga petrokimia tidak menentu, tapi keuntungan PCG dijangka melonjak 2 kali ganda  | DagangNews Skip to main content

Harga petrokimia tidak menentu, tapi keuntungan PCG dijangka melonjak 2 kali ganda 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Penganalisis kekal optimis terhadap prospek perolehan Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) walaupun trend harga petrokimia bercampur-campur ketika harga minyak mentah meningkat pada suku kedua 2021 (2Q21). 

 

Ini memandangkan harga saham kumpulan mempunyai hubung kait yang kukuh dengan kos nafta yang kini kian meningkat, seterusnya melonjakkan harga produk petrokimia, menurut AmInvestment Bank. 

 

Jelas penganalisisnya, Alex Goh, harga produk dalam industri petrokimia yang lebih tinggi akan melonjakkan keuntungan bersih kumpulan pada tahun kewangan 2021 (FY21) sebanyak 2.6 kali ganda kepada RM4,850 juta berbanding tahun lalu.

 

Unjuran itu merupakan perolehan sama yang dicatatkan PCG pada FY18 apabila purata harga minyak mentah Brent berlegar pada kadar AS$73 setong.

 

“Pada 2Q21, harga minyak mentah meningkat 13% bagi perbandingan suku tahun (q-o-q) sementara polietilena naik hanya 4% q-o-q, di mana mendorong kepada pengurangan purata lima tahun daripada peningkatan nafta kepada 27%.

 

“Namun, produk-produk lain bertambah baik secara ketara dengan benzena melonjak 42%, paraxylene (21%), urea (16%) dan metanol (12%),” kata Goh dalam satu nota kajian.

 

PCG dijangka menerbitkan keputusan kewangan bagi separuh pertama FY21 (1HFY21) pada 25 Ogos ini dan AmInvest mengekalkan unjuran perolehan kumpulan bagi tahun kewangan semasa sehingga FY23. 

 

Bagi prestasi 1QFY21, kumpulan menyaksikan keuntungan bersihnya melonjak 2.1 kali ganda q-o-q kepada RM1,461 juta, dipacu oleh harga produk yang lebih tinggi seiring lonjakan 32% harga minyak mentah kepada purata AS$61 setong.

 

Tambah Goh, PCG mungkin mencatatkan perolehan yang lebih kukuh memasuki 2HFY21 memandangkan harga minyak mentah Brent kini diniagakan pada kadar atau melebihi AS$70 setong berbanding purata AS$69 setong pada 2Q21.

 

PCG memperuntukkan perbelanjaan modal bagi tahun kewangan semasa sebanyak RM700 juta untuk pusingan lima kilang utamanya, RM600 juta untuk penyelenggaraan yang berterusan, RM650 juta untuk operasi petrokimia baharunya di Pengerang Integrated Complex (PIC) dan RM600 juta lagi untuk projek pertumbuhan kumpulan. - DagangNews.com