Harga RM30 sangat munasabah untuk minyak masak 5kg | DagangNews Skip to main content

Harga RM30 sangat munasabah untuk minyak masak 5kg

Mohd Khairuddin Aman Razali

Mohd Khairuddin Aman Razali

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Jualan minyak masak pada harga RM30 adalah sangat munasabah bagi setiap lima kilogram (kg).

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perkara itu dinilai kepada peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) yang turut memberi kesan kepada harga minyak masak.

 

Menurutnya, harga MSM di pasaran dunia kini adalah antara RM4,000 hingga RM4,500 bagi setiap satu tan, berbanding sekitar RM2,000 pada 2019 dan sebelumnya.

 

Susulan daripada peningkatan tersebut, harga buah tandan segar di ladang turut mengalami kenaikan sekitar RM1,000 per tan, berbanding RM300 per tan.

 

Perubahan tersebut secara tidak langsung mengubah status pendapatan 450,000 pekebun kecil sawit daripada kategori miskin kepada berpendapatan baik untuk sara hidup keluarga.

 

"Purata harga minyak sawit mentah pada 2019 ialah RM2,079 per tan. Dengan harga minyak sawit mentah sekitar RM2,000 pekebun kecil menjual buah sawit di ladang dengan harga RM300 sahaja. Ia tidak cukup untuk menampung kos keringat dan baja mereka.

 

"Tetapi dengan harga RM4,000 pekebun kecil menikmati harga di ladang sehingga RM1,000 per tan menjadikan purata pendapatan bulanan pekebun kecil dengan 4 hektar sawit antara RM5,000 hingga RM6,000," jelas beliau dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

 

Mengulas berkaitan kenaikan harga minyak sawit bertapis atau minyak masak, beliau memberitahu, harga minyak masak bertapis adalah lebih tinggi iaitu sekitar RM5,000 per tan berbanding harga minyak sawit mentah.

 

Jelasnya, dengan harga minyak sawit mentah antara RM4,000 hingga RM4,500, purata kos harga minyak masak di kilang ialah RM4.50 hingga RM5 bagi setiap kg.

 

"Kalau 5kg sekitar RM25. Belum dikira kos pembungkusan dan lain-lain. Dengan rantaian bekalan menerusi pemborong dan peruncit, sangat munasabah harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 bagi setiap 5kg.

 

"Sudah lama rakyat M40 dan T20 (60% rakyat Malaysia) yang kaya menikmati harga minyak masak dengan harga rendah di atas kudrat dan keringat para pekebun kecil yang berpendapatan kecil.

 

"Golongan kaya menikmati harga minyak masak sekitar RM20 untuk 5kg. Kos proses di kilang sekitar RM3 per kg termasuk botol dan pembungkusan," ujarnya lagi.

 

Secara keseluruhannya, Mohd Khairuddin berkata, kenaikan harga minyak sawit memberi keuntungan kepada tiga juta rakyat Malaysia sekali gus mengeluarkan mereka daripada status miskin. 

 

Katanya, kesan kenaikan harga sawit ditanggung oleh M40 dan T20 yang cukup makan dan kaya, namun ia memulangkan nilai keringat sebenar pekebun kecil yang telah lama diabaikan.

 

"Hasil cukai daripada kenaikan minyak sawit dipulangkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk yang dapat dirasai oleh semua rakyat. 

 

"Negeri seperti Sabah dan Sarawak menikmati pendapatan tinggi kerana kenaikan harga sawit," jelasnya lagi. - DagangNews.com