Harga rumah dijangka meningkat menjelang akhir 2022 - Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Harga rumah dijangka meningkat menjelang akhir 2022 - Juwai IQI

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Kaji selidik yang dijalankan Juwai IQI mendapati sebanyak 90% responden di Malaysia percaya ketika ini merupakan tempoh terbaik untuk membeli rumah. 

 

Malah, kajian itu yang dijalankan bagi tempoh 28 September hingga 21 Oktober 2021 itu turut menunjukkan 87% responden percaya harga hartanah akan lebih tinggi menjelang akhir 2022. 

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, responden juga amat positif mengenai harga rumah dalam tempoh 14 bulan akan datang dan tidak dinafikan, sesetengah pembeli begitu terdesak untuk membeli rumah sebelum harga naik lebih tinggi.

 

"Kami juga dapati, nisbah yang setara antara responden lelaki dan wanita. Ini adalah satu perubahan berbanding kaji selidik yang lalu, apabila lelaki lebih optimistik berbanding wanita mengenai harga hartanah," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Kashif Ansari
Kashif Ansari

 

 

Menurut beliau, pandemik COVID-19 secara dasarnya telah mengubah corak hidup rakyat di negara ini, yang mana pembeli kini tertumpu kepada kediaman yang memiliki ruang yang lebih luas.

 

Berdasarkan kaji selidik itu, katanya, 83% daripada responden menyifatkan ruang bekerja dan belajar kini amat penting berbanding sebelum pandemik.

 

"Mempunyai ruang yang lebih luas menjadi keperluan utama kepada 72% daripada responden manakala 68% pula mementingkan ruang hijau peribadi. 

 

"Ini mungkin disebabkan tempoh sekatan yang terlalu lama, pembeli hari ini mahu ruang yang lebih selesa bagi membolehkan mereka bekerja dari rumah," jelasnya.

 

Sementara itu, tambah beliau, kaji selidik itu mendapati 53% responden menyatakan kemudahan bangunan adalah lebih penting ketika ini berbanding sebelum tercetusnya wabak COVID-19.

 

Kashif berkata, susulan itu pemaju memberi respon mereka dengan membuat semula pelan lantai bagi projek baharu.

 

"Dalam sesetengah kes, mereka memilih untuk membangunkan rumah di kawasan yang lebih murah supaya mereka mampu menawarkan saiz rumah yang lebih besar," katanya.

 

Menurutnya, kaji selidik berkenaan turut mengajukan persoalan kepada responden mengenai kepentingan lokasi kepada mereka sebelum membuat pembelian rumah. 

 

"Kami dapati 64% responden berpendapat, lokasi yang lebih dekat dengan pusat bandar adalah lebih penting berbanding sebelum pandemik.

 

"Sebanyak 60% pula berkata, mereka mahu berada di lokasi yang dekat dengan hospital atau klinik," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, Kashif melihat kedatangan pandemik tersebut telah membawa perubahan besar dalam industri hartanah dan gaya hidup rakyat hari ini.

 

"Adakah keinginan untuk memiliki rumah yang lebih besar akan menyebabkan mereka berpindah ke kawasan luar bandar? Dalam hal ini, saya tidak merasakan begitu. 

 

"Ini kerana aktiviti ekonomi dan pekerjaan di kebanyakan pusat bandar masih lagi penting. Bandar akan terus menjadi tarikan kepada semua orang," jelasnya. - DagangNews.com