Harga saham RM3.10 tidak adil, tapi berpatutan - CCM  | DagangNews Skip to main content

Harga saham RM3.10 tidak adil, tapi berpatutan - CCM 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. -  Pengarah tidak berkepentingan Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) melihat harga saham RM3.10 yang ditawarkan oleh Batu Kawan Berhad (BKB) untuk membeli kepentingan dalam kumpulan syarikat itu tidak adil, tetapi berpatutan. 

 

Dalam pekeliling nasihat (IAC) dikeluarkan CCM di Bursa Malaysia, nilai tawaran itu tidak adil kerana harganya lebih rendah dan menunjukkan pengurangan kira-kira 6.50% hingga 11.08% daripada nilai anggaran saham CCM. 

 

Nilai anggaran saham CCM dalam lingkungan RM3.32 hingga RM3.49 berdasarkan model penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF). 

 

Namun, cadangan dan nasihat yang diwakili Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Kanan CCM, Datuk Wan Mohd. Fadzmi Che Wan Othman Fadzilah menyarankan pemegang ekuiti untuk menerima tawaran itu.

 

“Pengarah berkepentingan dilihat berminat dengan tawaran itu dan mengelak daripada membuat pertimbangan atau cadangan kepada pemegang ekuiti yang terlibat dalam tawaran ini. 

 

“Selepas melakukan penilaian dan pertimbangan berhati-hati terhadap terma dan syarat BKB seperti mana termaktub dalam dokumen tawaran dan mengambil kira penilaian, pandangan serta cadangan daripada DWA Advisory dalam Bahagian B IAC ini, pengarah tidak berkepentingan telah bersetuju dengan DWA Advisory bahawa tawaran itu tidak adil tetapi berpatutan. 

 

“Susulan itu, pengarah tidak berkepentingan menyarankan pemegang ekuiti untuk menerima tawaran tersebut,” jelas makluman itu. 

 

Pada 17 November lalu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) mencapai persetujuan dengan Batu Kawan Berhad (BKB) untuk melupuskan keseluruhan pegangan sahamnya sebanyak 56.3% dalam CCM dan dana unit amanahnya berjumlah RM292.8 juta.

 

Harga itu mewakili premium sebanyak 69% daripada harga saham purata berwajaran 3 bulan. 

 

Penjualan tersebut akan mencetuskan tawaran umum wajib oleh BKB untuk baki saham dalam CCM.

 

Jelas PNB, pelupusan itu adalah sebahagian daripada strategi kepelbagaian asetnya untuk mengimbangi portfolio dan konsisten dengan usaha mereka dalam meningkatkan nilai agar dapat memberi pulangan yang mampan kepada pemegang unit.

 

BKB kemudiannya membuat tawaran rasmi untuk membeli kesemua saham CCM yang tidak dimilikinya pada harga RM3.10 sesaham bernilai RM292.79 juta. 

 

Apabila pengambilalihan itu lengkap, ini bermakna pegangan BKB dalam CCM meningkat kepada 59.73% daripada 3.41% sebelum ini. 

 

BKB meletakkan 18 Januari 2021 sebagai tarikh tutup pertama kepada pemegang ekuiti untuk menerima tawaran pembelian saham dalam CCM.

 

Dalam IAC itu, setakat tarikh dipraktikkan terkini (LPD), Datuk Lee Hau Hian yang merupakan pengarah berkepentingan telah mengesahkan hasratnya untuk menerima tawaran berkenaan.

 

BKB dan pihak bertindak (PAC) belum menerima ‘kata putus’ rasmi daripada mana-mana pemegang ekuiti untuk menerima atau menolak tawaran itu. 

 

“Setakat LPD, PAC memegang 8,086,221 saham, mewakili kira-kira 4.82% kepentingan dalam CCM. 

 

“Berdasarkan pengumuman yang dibuat CCM di Bursa Securities setakat LPD, BKB telah memperoleh sejumlah 999,085 saham yang mewakili 0.60% terbitan saham modal CCM," tambah makluman itu. - DagangNews.com