Harga sawit tinggi punca pekerja sektor pembinaan beralih ke perladangan | DagangNews Skip to main content

Harga sawit tinggi punca pekerja sektor pembinaan beralih ke perladangan

SIBU 10 Jun - Harga minyak sawit yang tinggi dalam sektor perladangan membuatkan tenaga kerja dalam sektor lain terjejas terutama dalam sektor pembinaan.

 

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keadaan itu dapat dilihat apabila terdapat beberapa projek pembinaan yang telah lewat disiapkan termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo.

 

“Harga sawit kini begitu baik, sebab itu mereka iaitu pemain industri sawit sanggup membayar berapa saja bayaran untuk mengambil pekerja dan salah satu mangsanya adalah sektor pembinaan.

 

“Sektor pembinaan pula (membuat bayaran kepada pekerja berdasarkan) dari nilai pasaran dan juga kepada kemahiran yang dimiliki pekerja,” katanya selepas menyertai program Jelajah FTRoadpedia Sarawak di Jejambat Selangau, hari ini lapor Bernama.

 

Jelajah FTRoadpedia Sarawak anjuran Kementerian Kerja Raya yang bermula semalam hingga 11 Jun itu bertujuan meninjau perkembangan semasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dengan melintasi daerah Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri.

 

Mengulas lanjut, Fadillah berkata ‘tarikan’ pekerja dari satu sektor ke sektor lain merupakan persaingan dalam pasaran yang bukan sahaja berlaku di Sarawak tetapi seluruh negara.

 

“Oleh sebab itu, terdapat syarikat yang tubuhkan ‘headhunter’ yang bertujuan untuk mencari pekerja.

 

“Pihak industri sendiri perlu fikir bagaimana mereka boleh menjaga pekerja mereka dengan memberi tawaran termasuk manfaat yang boleh mengekalkan pekerja,” katanya.

 

Semalam, beliau dilaporkan berkata, apabila pandemik COVID-19 melanda, ramai pekerja yang terlibat dengan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak juga telah pulang ke negara asal mereka, menyebabkan kontraktor projek itu kini hanya mampu bekerja dengan kapasiti 70%  tenaga kerja berbanding sebelum pandemik. - DagangNews.com