Harga siling minyak masak 5kg RM34.70 di Sabah, Sarawak, Labuan bermula 8 Ogos 2022 | DagangNews Skip to main content

Harga siling minyak masak 5kg RM34.70 di Sabah, Sarawak, Labuan bermula 8 Ogos 2022

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Harga siling minyak sawit botol lima kilogram untuk Sabah, Sarawak dan Labuan ditetapkan pada paras RM34.70 sama seperti di Semenanjung, berkuat kuasa pada 8 Ogos 2022.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata mekanisme penetapan harga siling itu dibuat bersandarkan simulasi harga jualan minyak masak tulen di peringkat peruncit, dengan mengambil kira perkembangan semasa minyak sawit mentah (MSM) di pasaran global. 

 

“Bagaimanapun, penetapan harga siling juga mengambil kira beberapa aspek kos luar jangka seperti logistik, termasuk situasi dialami segelintir peruncit untuk menghabiskan bekalan minyak masak tulen yang dibeli dengan harga lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Nanta berkata, penetapan harga siling secara bulanan bagi minyak masak botol tidak bersubsidi mengikut harga purata MSM bagi satu tan metrik di pasaran dunia pada bulan sebelumnya diputuskan pada mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

 

“Harga purata bulanan MSM ditentukan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi pada 1 hari bulan setiap bulan diikuti pengumuman harga siling minyak masak tulen kemasan botol bagi bulan tersebut berkuat kuasa pada setiap 8 hingga 7 hari bulan pada bulan berikutnya,” katanya.

 

Terdahulu, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, minyak masak sawit botol itu  akan dijual pada harga RM34.70 bulan ini bermula 8 Ogos 2022 dan harga berkenaan hanya berkuat kuasa untuk Semenanjung Malaysia.

 

Sementara itu, Nanta berkata, perintah larangan mengeksport minyak masak tulen tidak bersubsidi dalam semua bentuk polibeg diwartakan semalam untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna dan pengeksport di samping meningkatkan keberkesanan pemantauan bagi mengurangkan ketirisan. - DagangNews.com