Hari Kemerdekaan bukan sekadar acara perarakan, pertunjukan bunga api tetapi menjiwai makna sebenar `Merdeka'  | DagangNews Skip to main content

Hari Kemerdekaan bukan sekadar acara perarakan, pertunjukan bunga api tetapi menjiwai makna sebenar `Merdeka' 

Perarakan Hari Kemerdekaan di Putrajaya pada 31 Ogos 2024. - Gambar FB Anwar Ibrahim
oleh Muhammad Haikal Yuri Azhar

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 diserikan dengan tema "Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka", yang mengangkat pengertian yang mendalam bagi seluruh rakyat Malaysia, khususnya dalam usaha untuk memupuk jati diri anak muda sebagai pemimpin masa hadapan.


 

Dalam keadaan Malaysia yang semakin moden dan kian membangun, kita sering kali terperangkap dalam arus globalisasi dan melupakan nilai-nilai teras yang membentuk bangsa kita.

 

Namun, di sebalik kemajuan ini, ada satu perkara yang tidak boleh diabaikan – semangat patriotisme yang jitu dan tidak tergugat.


 

Muhammad Haikal Yuri Azhar
Muhammad Haikal Yuri Azhar

 

 

Acapkali kita menganggap perjuangan kemerdekaan hanya sekadar mendapatkan kebebasan dan memperjuangkan nasib tanah air, namun hakikatnya ia bukan sekadar itu.

 

 

Apakah erti sebenar kemerdekaan jika setiap tahun, ribuan anak-anak berbaris mengibarkan Jalur Gemilang dan menjerit "Merdeka!" namun jiwa mereka tetap kosong, terhanyut dalam kegelapan.

 

Kita membiarkan, bahkan mengizinkan, sistem yang ada untuk terus membenarkan keterlanjuran ini berlarutan.

 

Adakah kemerdekaan itu hanya sekadar laungan, atau sesuatu yang perlu dihayati dan dihidupkan dalam setiap jiwa anak bangsa?

 

Merdeka itu bukan hanya sekadar di bibir. Pengorbanan dari segi harta, masa dan usaha yang nenek moyang kita lakukan untuk menjadikan rombongan kemerdekaan itu satu kenyataan adalah salah satu asbab mengapa kemerdekaan ini harus kita jaga dan sematkan dalam sanubari.

 

Seperti apa yang diungkapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024,  “…anak-anak generasi penerus yang akan menentukan arah negara ini, maka belajarlah dapatkan pencerahan sebenarnya dan jangan jadi perkakas murahan atas nama kaum atau agama dipermain dan diperolok-olokkan untuk orang mencari juang dan kuasa atau pengaruh, cari kebenaran, tegak keadilan selamatkan bangsa dan angkat martabat negara, itu tugas generasi muda untuk menyelamatkan negara dan bangsa kita.”

 

Melangkah ke hadapan, jiwa anak muda perlu diisi dengan semangat cintakan negara yang tulen. Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri yang kuat, namun ia juga perlu dilengkapkan dengan pengalaman sebenar yang membuka mata tentang kepentingan kemerdekaan dan perpaduan. 

 
 

parafrasa

 

 

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukan sekadar acara tahunan yang dipenuhi dengan perarakan dan pertunjukan bunga api.

 

Sebaliknya, ia adalah detik refleksi, di mana kita sebagai rakyat Malaysia perlu merenung kembali makna kemerdekaan dalam kehidupan kita.

 

Apakah erti kebebasan jika kita tidak menggunakannya untuk kebaikan bersama? Apakah erti jati diri jika kita tidak bangga dengan identiti kita sebagai rakyat Malaysia?

 

Dalam dunia yang semakin tidak menentu ini, penting bagi kita untuk kembali kepada asas. Nilai-nilai seperti hormat-menghormati, kesederhanaan, dan kepedulian harus terus disemai dalam jiwa anak-anak muda.

 

Jiwa Merdeka bukan sahaja tentang kebebasan, tetapi juga tentang tanggungjawab – tanggungjawab untuk membangunkan negara dan menjaga keharmonian masyarakat.

 

 

parafrasa

 

 

Akhir kata, generasi muda khususnya perlu mengambil iktibar dan menghayati makna kemerdekaan yang sebenar. Jangan biarkan kemerdekaan ini hanya sebagai satu coretan kenangan sejarah.

 

Sebaliknya, jadikan ia sebagai inspirasi untuk terus berjuang demi masa depan yang lebih cerah dan bermakna.

 

Selamat Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Dengan iringan doa dan harapan, semoga Malaysia terus aman, dicurahkan dengan limpahan kebahagiaan dan kesejahteraan serta rakyatnya hidup saling bersatu padu, bertolak ansur dan harmoni tanpa mengira apa jua perkara yang menjadi batu penghalang dan perbezaan kerana kita rakyat Malaysia. - DagangNews.com

 

 
Muhammad Haikal Yuri Azhar adalah pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Melaka