Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Sidang Parlimen hari ini yang akan menentukan keputusan Belanjawan 2021 menyaksikan ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Pagi ini mata wang tempatan itu dibuka pada RM4.0840/0880 berbanding penutupan semalam, RM4.0835/0890 pada pukul 6 petang.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi blognya semalam berkata, beliau dan rakan-rakannya mencapai kata sepakat untuk menolak bajet tersebut.
"Kami melakukannya dengan penuh rasa tanggungjawab dan kepercayaan yang kami pegang atas nama rakyat sehingga akhir tempoh kami sebagai wakil rakyat," katanya.
Menurut HLIB Research, ringgit boleh mengatasi paras RM4.08 berbanding dolar AS sekiranya Belanjawan 2021 mencapai persetujuan dalam pengudian hari ini.
"Bagaimanapun, kami mengekalkan pegangan neutral kepada menurun bagi ringgit/dolar AS dengan mengambil kira kelemahan dolar tetapi masih ada ruang ia bergerak dengan lebih rendah," katanya dalam nota kajian.
Sementara itu, AmBank Research menjangkakan ringgit diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0793 dan RM4.0832 manakala paras rintangan, RM4.0923 dan RM4.0965.
Katanya, dolar AS pula jatuh ke paras terendah sejak Januari 2018, susut 0.24% kepada 92.004.
"Harga minyak ditutup tinggi pada hari ke-6 dengan Brent naik 1.57% kepada AS$48.61 setong manakala West Texas Intermediate meningkat 1.78% kepada AS$45.71 setong.
"Ini merupakan paras tertinggi dalam 9 bulan ekoran inventori minyak mentah AS jatuh 750,000 tong setiap hari bagi minggu berakhir 21 November manakala bekalan meningkat 770,000 tong setiap hari pada minggu sebelumnya," katanya. - DagangNews.com