Harmonikan jurang hasrat dan amalan guru dalam pengajaran di bilik darjah | DagangNews Skip to main content

Harmonikan jurang hasrat dan amalan guru dalam pengajaran di bilik darjah

Oleh Dr. Roshafiza Hassan

KEPUASAN dalam kerjaya sebagai pendidik merupakan impian bagi setiap guru. Kepuasan dapat dicapai apabila terdapat anjakan positif dalam perjalanan kerjaya sebagai seorang guru. 

 

Anjakan positif ini berlaku apabila guru berkeinginan untuk sentiasa memperbaiki corak amalan pengajaran sedia ada kepada suatu tahap yang lebih baik. Hasrat yang timbul ini adalah disebabkan harapan mereka untuk melihat generasi muda dapat berdikari, menguasai pengetahuan baharu dan dapat mengaplikasi pengetahuan tersebut dalam kehidupan seharian mereka. 

 

Hal ini sejajar dengan keperluan pendidikan dalam Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) yang menerapkan elemen penting iaitu komunikasi, pembelajaran kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti serta aplikasi nilai murni dan etika. 

 

Guru yang mempunyai kesedaran dan motivasi kendiri yang tinggi tentang pentingnya mencapai matlamat dan keperluan pendidikan masa kini seperti digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dilihat mempunyai keinginan yang kuat untuk mengubah amalan pengajaran mereka. 

 

Di Malaysia, 51 peratus guru sekolah menengah meluahkan hasrat yang sangat tinggi untuk mengubah amalan pengajaran khususnya di bilik darjah. Mereka bersedia untuk mengadaptasi kaedah pengajaran yang berbeza berdasarkan kebolehan, corak pembelajaran dan pencapaian pelajar. 

 

Penekanan terhadap proses pembelajaran yang berpusatkan pelajar adalah antara aspek utama dihasratkan oleh guru. Dengan ini guru dapat membina hubungan baik melalui peluang, galakan dan sokongan yang diberikan kepada pelajar untuk meneroka potensi dan minat mereka tersendiri. 

 

Namun, realitinya pernyataan hasrat yang dizahirkan oleh guru tidak mudah untuk diterjemahkan dalam amalan sebenar pengajaran mereka. Hal ini kerana terdapat jurang yang signifikan antara hasrat dan pelaksanaan amalan sebenar mereka dalam pengajaran. 


 

parafrasa

 


Sebagai contoh, guru mempunyai hasrat yang tinggi untuk membina budaya pemikiran kreatif dan kritis, memperbaiki kualiti aktiviti pembelajaran, memupuk budaya kepimpinan dan keusahawanan dalam kalangan pelajar. 

 

Namun, kekangan dari aspek infrastruktur, sumber dan bahan bantu mengajar, kurikulum, masalah tadbir urus, kekurangan guru bidang dan staf sokongan serta kapasiti pelajar yang terlalu ramai dalam satu kelas telah membantutkan pelaksanaan hasrat untuk perubahan. 

 

Langkah proaktif perlu bagi menangani permasalahan ini terutamanya melalui penyediaan fasiliti yang lebih baik di setiap sekolah termasuklah kemudahan makmal komputer, internet, tandas, persekitaran sekolah dengan iklim dan budaya yang positif, penyusunan semula organisasi pentadbiran yang lebih efisien dan galakan persekitaran pembelajaran secara terbuka yang tidak hanya terhad di dalam bilik darjah. 

 

Keprihatinan dan sikap cakna pihak pengurusan sekolah, dengan sokongan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mampu membantu guru untuk membuat anjakan dalam aspirasi mereka. 

 

Selain itu, kolaborasi erat antara ibu bapa dan guru (PIBG) melalui sokongan dan program-program yang dirangka juga dapat membantu merealisasikan hasrat guru untuk menambahbaik aktiviti pengajaran. 

 

Umumnya, keinginan untuk melakukan perubahan sebagaimana dihasratkan oleh majoriti guru adalah penanda aras kepada keupayaan penambahbaikan kualiti sistem pendidikan di Malaysia khususnya dalam aspek pengajaran. 

 

Tumpuan serius perlu dilakukan dengan mengambil langkah segera merapatkan jurang yang wujud selagi mana guru masih mempunyai keinginan untuk berganjak kepada tahap pelaksanaan kualiti pengajaran yang lebih baik. 


 

parafrasa

 


Dalam konteks guru sebagai agen pelaksana, usaha merapatkan jurang antara hasrat dan amalan sebenar pengajaran guru ini pastinya memberi impak yang sangat positif kepada pelajar. 

 

Meskipun sekolah turut diberikan autonomi dalam pembuatan keputusan, namun sokongan dan usaha berterusan perlu dilakukan oleh semua pihak yang terlibat supaya wujud keharmonian dalam aspirasi guru. Usaha ini penting bagi mendokong misi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara. - DagangNews.com

 

Dr. Roshafiza Hassan adalah dari Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia