Harn Len ambil alih 100% pegangan ekuiti dalam Almal Resources dengan harga RM54.72 juta | DagangNews Skip to main content

Harn Len ambil alih 100% pegangan ekuiti dalam Almal Resources dengan harga RM54.72 juta

KUALA LUMPUR 7 April - Harn Len Corporation Berhad mengambil alih 100% kepentingan ekuiti dalam Almal Resources Sdn Bhd (ARSB) daripada Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel pada harga RM54.72 juta.

 

Harn Len berkata, pertimbangan pembelian itu akan dipenuhi melalui penerbitan dan peruntukan 31.27 juta saham baharu syarikat itu dan tunai RM32.83 juta.

 

Resolusi itu telah diundi dan dilaksanakan dengan sewajarnya semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, selepas pengambilalihan itu, Mohamed Nizam akan menjadi salah seorang pemegang saham utamanya dengan pegangan 5.5%.

 

Mohamed Nizam merupakan ahli perniagaan yang terlibat dalam operasi harian perniagaan keluarganya, Kumpulan Jakel yang terlibat dalam peruncitan dan pembuatan tekstil serta pembangunan hartanah.

 

“Pengambilalihan ARSB memberi peluang kepada syarikat untuk mempelbagaikan perniagaan perladangannya daripada kelapa sawit kepada tanaman lain.

 

"Pada masa yang sama, ARSB dan anak syarikatnya Pahang Coconut Valley Corp Sdn. Bhd. (PCVCSB) akan menjadi anak syarikat milik penuh Harn Len, yang seterusnya, memiliki hak ke atas pajakan tanah ladang selama 60 tahun di Rompin, Pahang," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, lapor Bernama.

 

Bagi jumlah keluasan tanah seluas 1,639.37 hektar, Har Len menganggarkan kawasan boleh ditanam kira-kira 1,618.74 hektar, manakala baki 20.23 hektar akan digunakan untuk tujuan infrastruktur.

 

Sehingga 10 Mac 2023, PCVCSB telah menanam 121.41 hektar kelapa sawit dan 214.48 hektar nanas.

 

Ketua Pegawai Operasi Harn Len, Low Yew Yern berkata ladang nanas boleh menjana pendapatan lebih cepat untuk kumpulan itu dan mengurangkan kebergantungan kepada ladang kelapa sawit.

 

“Kumpulan itu berhasrat untuk menggunakan sehingga 404.69 hektar tanah untuk tanaman nanas tertakluk kepada penilaian kebolehlaksanaan lanjut yang akan dijalankan.

 

"Kami menjangkakan untuk memulakan penanaman nanas dalam tempoh enam bulan selepas selesai cadangan pemerolehan ARSB," katanya. - DagangNews.com