Hartalega berisiko dikeluarkan daripada senarai utama FBM KLCI, kini sahamnya disarankan 'jual' | DagangNews Skip to main content

Hartalega berisiko dikeluarkan daripada senarai utama FBM KLCI, kini sahamnya disarankan 'jual'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Nov - Firma-firma penyelidikan menyemak turun penarafan saham Hartalega Holdings Bhd. dengan harga sasaran (TP) lebih rendah berikutan prospek kumpulan yang suram dipengaruhi masalah lebihan bekalan dan harga jualan purata (ASP) yang lemah. 

 

Menurut MIDF Research, kumpulan menjangkakan ASP akan terus menurun kepada AS$20 per 1,000 keping manakala kadar penggunaan kekal pada 50% terutamanya disebabkan situasi lebihan bekalan dalam sektor sarung tangan getah berikutan permintaan yang rendah, pelan pengembangan agresif dan penyertaan pemain baharu ketika pandemik COVID-19.

 

Ini mendorong firma itu menurunkan penarafan Hartalega kepada 'jual' daripada 'neutral' dengan TP lebih rendah pada RM1.78 daripada RM2.58 sesaham sebelum ini.

 

Malah, ia turut mengurangkan unjuran keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23), FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak -58.3%, -55.7% dan 48.2% setelah mengambil kira kadar penggunaan yang rendah dan kos pengeluaran lebih tinggi.

 

"Kami mengambil langkah berhati-hati terhadap lebihan bekalan sarung tangan yang akan berterusan sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun akan datang. 

 

"Situasi ini disebabkan terutamanya pemasangan kapasiti yang agresif daripada pendatang sedia ada dan baharu semasa pandemik, keadaan lebihan stok dalam industri dan pelarasan inventori seterusnya yang mengakibatkan dinamik permintaan-bekalan tidak sekata.

 

"Selain itu, kami juga bimbang tekanan margin akan berterusan dalam tempoh terdekat disebabkan volum jualan yang lebih rendah dan kenaikan kos tenaga, kedua-duanya akan memburukkan lagi margin," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

hartalega

 

 

Baca : Untung bersih Hartalega merosot 97% kepada RM28.34 juta ekoran ASP lebih rendah

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersih Hartalega bagi suku kedua berakhir 30 September 2022 susut 96.9% kepada RM28.34 juta daripada RM914.01 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan juga merosot 70.9% kepada RM584.6 juta daripada RM2.01 bilion.

 

Penurunan itu disebabkan ASP yang lebih rendah ekoran persaingan pasaran yang sengit mengakibatkan berlakunya situasi lebihan bekalan di samping penurunan volum jualan sebanyak 27% berbanding suku kedua tahun sebelumnya.

 

Ini menyaksikan pendapatan bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September juga merosot 75.8% kepada RM1.43 bilion daripada RM5.91 bilion dengan untung bersih terus menjunam kepada RM116.24 juta daripada RM3.17 bilion.

 

Susulan prestasinya pada suku kedua yang kurang memberangsangkan, Malacca Securities turut menurunkan penarafan Hartalega kepada 'jual' daripada 'pegang' sebelum ini dengan TP lebih rendah pada RM1.69 daripada RM2.61 sesaham sebelum ini.

 

Firma itu masih berhati-hati terhadap ketidaktentuan harga bahan mentah, faktor inflasi yang timbul daripada gas asli yang lebih tinggi, kos elektrik, kekurangan buruh dan ancaman persaingan sengit yang mempengaruhi prospek sektor itu untuk sebarang peningkatan besar yang berpotensi.

 

"Oleh itu, kami mengurangkan unjuran keuntungan sebanyak 49% bagi FY23 kepada RM181.9 juta manakala 46.8% bagi FY24 kepada RM231.2 juta, selepas menyelaraskan kadar penggunaan kilang yang lebih lemah," katanya.

 

Malah, ia juga menjangkakan Hartalega berisiko untuk dikeluarkan daripada senarai komponen utama FBM KLCI dalam semakan indeks separuh tahunan yang akan datang pada 21 November ini berikutan tekanan terhadap harga sahamnya.

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research menjangkakan Hartalega akan merekodkan prestasi separuh kedua yang lemah memandangkan kadar penggunaannya pada suku ketiga masih kekal rendah pada 50%, manakala ASP semakin menurun kepada AS$20 (berbanding AS$24 pada suku kedua). 

 

Oleh itu, ia menyemak turun anggaran ASP bagi FY23 hingga FY25 kepada AS$23 (berbanding AS$25 sebelum ini) dan pendapatan sesaham (EPS) kami bagi FY23 hingga FY25 adalah antara 3.1% hingga 24.6%.

 

"Kami hanya menjangkakan peningkatan permintaan sarung tangan global dan ASP akan bermula dari suku pertama FY24 dan seterusnya. 

 

"Pada pandangan kami, baki enam bulan ini akan menjadi titik lemah bagi Hartalega dari segi ASP dan permintaan, kerana lebihan stok dalam industri semakin hilang, membawa kepada peningkatan dalam keseluruhan dinamik bekalan-permintaan dalam sektor sarung tangan global," jelasnya.

 

Namun, firma itu menyemak naik penarafan Hartalega kepada 'pegang' daripada 'kurang' dengan TP lebih rendah pada RM2.10 berbanding RM2.30 sesaham sebelum ini.

 

Setakat 9.18 pagi, harga saham Hartalega susut 3 sen atau 1.45% kepada RM2.04 dengan 3.5 juta saham diniagakan. - DagangNews.com