Hartalega dijangka catat jumlah jualan lebih tinggi pada 2QFY25, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Hartalega dijangka catat jumlah jualan lebih tinggi pada 2QFY25, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Hartalega Holdings Bhd dijangka menerima peningkatan pesanan secara beransur-ansur dan jumlah jualan 2QFY25 yang lebih tinggi disokong pengumpulan semula inventori daripada pengedar.

 

Kenanga Research berkata, ia menunjukkan tanda awal potensi pemulihan dari segi permintaan.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, kumpulan itu akan mencapai jumlah jualan sebanyak 2.2 bilion keping sebulan dan mereka sudah melihat pesanan pada 1QFY25 mencecah angka 2 bilion keping sebulan berbanding RM1.8 bilion keping sebulan pada 4QFY24. 

 

"Bagaimanapun, kami percaya pemulihan dalam jualan suku tahunannya akan kekal mencabar kerana pembeli melihat ia bukan suatu keperluan mendesak untuk membuat pesanan besar atau memegang stok yang banyak kerana bekalan mudah didapati di pasaran," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hartalega kembali catat untung bersih RM32 juta bagi 1QFY25 didorong peningkatan purata harga jualan

 

Terdahulu, hasil bagi 1QFY25 juga meningkat sebanyak 33% kepada RM584 juta berbnding RM440 juta pada 1QFY24.

 

Prestasi kumpulan yang bertambah baik bagi suku tersebut disebabkan pemulihan dalam jumlah jualan dan peningkatan purata harga jualan (ASP) dalam tempoh tersebut.

 

Kenanga Research menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar pada suku berikutnya, dibelenggu oleh lebihan bekalan yang besar.

 

Berdasarkan anggaran, situasi permintaan dan bekalan hanya akan mula menuju ke arah keseimbangan pada 2026 selepas hampir tiada lagi kapasiti baharu sementara permintaan global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15% setahun disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan.

 

Katanya, permintaan terhadap sarung tangan meningkat sebanyak 30% kepada 390 bilion pada tahun ini disebabkan asas yang rendah pada tahun lalu dan meneruskan pertumbuhan organic sebanyak 15%.

 

"Kami mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.33 sesaham," katanya.- DagangNews.com