Hartalega diunjur terus berdepan tekanan purata harga jualan kesan saingan sengit pasaran, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Hartalega diunjur terus berdepan tekanan purata harga jualan kesan saingan sengit pasaran, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Dis - Hartalega Holdings Berhad diunjur terus berdepan tekanan dari segi purata harga jualan (ASP) sarung tangan kesan daripada persaingan sengit pasaran.

 

Bagaimanapun, Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, harga bahan mentah mula menunjukkan kestabilan dengan harga lateks asli serta lateks nitril menyusut masing-masing sebanyak 3% dan 1% sejak November 2023.

 

Katanya, kos gas asli kumpulan itu berkemungkinan menyusut selepas jangkaan peningkatan pada suku pertama 2024 berikutan pelarasan harga antarabangsa.

 

"Memandangkan Hartalega mempunyai kuasa penawaran yang terhad dalam penetapan harga bagi sarung tangan nitril ringan, adalah penting bagi kumpulan itu menumpukan pada kecekapan kos dan jumlah jualan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu kekal berhati-hati terhadap prospek sektor itu dan memberi fokus kepada kecekapan kos dan kadar penggunaan lebih tinggi selepas penutupan kilang Bestari Jaya.

 

Katanya, kadar penggunaan dijangka bertambah baik kepada kira-kira 50% pada suku akan datang, membawa kepada kos pengeluaran yang lebih rendah.

 

Maybank IB berkata, Hartelaga mempunyai risiko rosot nilai terendah dalam kalangan pembuat sarung tangan di bawah liputannya selepas penutupan kilang Bestari Jaya.

 

"Kunci kira-kiranya kekal kukuh pada akhir September 2023, dengan RM1.5 bilion tunai bersih," katanya.

 

Firma itu menyemak naik penarafan Hartalega kepada 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM3.02 berbanding RM2.25 sesaham. - DagangNews.com