Hartalega diunjur terus catat kerugian pada 4QFY23, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Hartalega diunjur terus catat kerugian pada 4QFY23, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Feb - CGS-CIMB Research mengunjurkan kerugian Hartalega Holdings Berhad terus meningkat pada 4QFY23 kesan daripada beberapa faktor termasuk penurunan purata harga jualan (ASP) dari bulan ke bulan didorong oleh peningkatan kos (harga gas asli dan tarf elektrik).

 

Firma itu berkata, kerugian itu bagaimanapun akan berakhir pada 1QFY24 dengan pengeluar sarung tangan getah termasuk kumpulan itu berhasrat untuk menaikkan ASP pada antara Januari dan Mac bagi melepaskan peningkatan kos.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu menjelaskan bahawa menaikkan harga jualan ada satu cabaran ketika ini memandangkan permintaan lemah selain pasaran semasa tidak stabil dan kapasiti pengeluaran yang tertunggak (akibat pengembangan agresif sebelumnya daripada pemain sedia ada dan baharu)

 

"Dari segi ASP, kumpulan itu merancang dua kenaikan harga (pada Februari dan Mac 2023) bagi melepaskan kos.

 

"Sebahagian pembeli sarung tangan menolak kenaikan yang dirancang dalam harga jualan, tetapikumpulan itu tetap dengan rancangannya. Kami memahami bahawa walaupun peningkatan adalah kecil (anggaran 1% hingga 5%), adalah perlu untuk meningkatkan margin keuntungan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Hartalega catat kerugian bersih RM31.91 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2022

 

Firma itu berkata, dalam tempoh terdekat, kumpulan itu menjangkakan margin keuntungan mereka  kekal di bawah tekanan berikutan peningkatan kos operasi.

 

Tekanan itu merangkumi gaji minimum yang lebih tinggi mulai 1 Mei 2022 dan kos tenaga yang lebih tinggi (kumpulan itu menjangkakan kenaikan tarif elektrik dan gas asli sebanyak 54% dan 25%).

 

Firma itu berkata, dari sudut positif kumpulan itu berpendapat bahawa jumlah jualannya dijangka meningkat dari bulan ke bulan kesan daripada permintaan global yang lebih baik dan menjangkakan kadar penggunaan kekal dibawah paras 85%.

 

"Walaupun sektor ini berkemungkinan kekal suram dalam tempoh 12 bulan akan datang, ia dijangka pulih secara beransur-ansur dan keuntungan hanya akan diraih kebali dalam tempoh dua ke tiga tahun," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.70 sesaham. - DagangNews.com