Hartalega nikmati 'durian runtuh', untung bersih melonjak 9 kali ganda | DagangNews Skip to main content

Hartalega nikmati 'durian runtuh', untung bersih melonjak 9 kali ganda

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Untung bersih Hartalega Holdings Bhd. bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2021 melonjak 9 kali ganda kepada RM2.26 bilion berbanding RM219.72 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagi tempoh itu juga, pendapatan kumpulan meningkat 324% kepada RM3.9 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya sebanyak RM920.09 juta.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, syarikat pengeluar sarung tangan getah itu berkata, pendapatannya pada suku itu meningkat 69.1% berbanding suku keempat sebelum itu. 

 

Katanya, pendapatan kukuh itu didorong jumlah jualan yang tinggi dan peningkatan harga purata jualan (ASP) pada suku berkenaan.

 

Malah, untung sebelum cukai bagi suku itu juga meningkat 90.5% kepada RM2.88 bilion berbanding suku sebelumnya didorong pendapatan jualan yang tinggi setelah mengimbangi harga bahan mentah yang tinggi.

 

Menurut Hartalega, sejajar dengan permintaan sarung tangan getah yang meningkat di seluruh dunia, kumpulan akan terus mengembangkan kapasiti kilangnya di NGC, Sepang.

 

Setakat ini, 8 daripada 10 barisan pengeluarannya di Plant 7 sudah pun mula beroperasi. 

 

"Apabila Plant 7 ini beroperasi secara penuh, ia akan meningkatkan kapasiti tahunan sebanyak 2.7 bilion keping sarung tangan getah," katanya. 

 

Pada masa sama, pembinaan fasiliti NGC 1.5 sedang dijalankan dan kumpulan menyasarkan ia memulakan barisan pengeluaran pertama menjelang Disember 2021.

 

Dengan tambahan 4 kilang pengeluaran, ia akan menyumbang sebanyak 19 bilion keping kepada kapasiti tahunan. 

 

Kumpulan itu berkata, apabila NGC 1.5 ini siap kelak, ia menjadikan kapasiti kumpulan kepada 63 bilion keping setahun.

 

Dalam pada itu, Hartalega turut menyedari berlakunya penurunan ASP bagi sarung tangan getah dalam separuh kedua tahun ini setelah melonjak lebih tinggi sebelum itu.

 

Bagaimanapun, permintaan global terus meningkat susulan wujudnya gelombang baharu varian COVID-19 telah menjejaskan negara di seluruh dunia.

 

"Untuk tempoh jangka masa panjang, peningkatan struktur bagi permintaan sarung tangan getah akan terus mendorong pertumbuhan permintaan.

 

"Ini didorong oleh peningkatan penggunaan sarung tangan dari pasaran negara baharu muncul dengan penggunaan per kapita yang rendah dan meningkatnya kesedaran terhadap penjagaan kebersihan," katanya. - DagangNews.com