Hartalega sedia modal RM300 juta tingkatkan kapasiti pengeluaran, automasi | DagangNews Skip to main content

Hartalega sedia modal RM300 juta tingkatkan kapasiti pengeluaran, automasi

KUALA LUMPUR 6 Sept - Hartalega Holdings Bhd bercadang untuk memeperuntukkan RM300 juta sebagai perbelanjaan modal (capex) dalam tempoh 12 bulan akan datang bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan automasi.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata, kumpulan itu akan memberi fokus kepada pembuatan pintar.

 

"Kami telah memperuntukkan RM300 juta dalam capex untuk 12 bulan akan datang," katanya.

 

"Daripada RM300 juta ini, kira-kira RM170 juta akan dilaburkan dalam kapasiti baharu untuk pengeluaran," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu hari ini, lapor Bernama.

 

Beliau berkata, bakinya akan digunakan untuk menaik taraf automasi syarikat membabitkan barisan pengeluarannya, dengan tumpuan pada teknologi automasi yang lebih maju.

 

"Walaupun sukar untuk memberikan angka yang tepat, kami berharap dapat mengurangkan tenaga buruh kami sebanyak 15% kepada 20%.

 

"Proses automasi ini mengambil masa sehingga dua tahun untuk disiapkan, memberikan peningkatan yang ketara. 

 

"Sekarang ini, barisan pengeluaran kami bersifat automatik, dengan hampir 85% proses sudah diautomasikan," katanya.

 

Mun Leong berkata, disebabkan perubahan dalam landskap kompetitif, Hartalega perlu meningkatkan lagi teknologinya untuk mencapai automasi penuh, sekali gus, menambah pengeluaran dan hasil.

 

"Pelaburan besar ini bukan sahaja akan melonjakkan automasi tetapi juga kualiti pembungkusan, yang sukar diukur dari segi kewangan tetapi menawarkan kelebihan daya saing," katanya.

 

Berhubung pengukuhan ringgit, beliau berkata, syarikat itu berdepan dengan beberapa cabaran kerana kos tertentu mungkin akan naik.

 

"Kami akan cuba menyampaikan kos ini kepada pelanggan kerana kami melaraskan harga kami pada setiap bulan.

 

"Sebagai contoh, pada September, harga kami mencerminkan kesan ringgit yang lebih kukuh dan kami akan memindahkan kenaikan kos ini kepada pelanggan," tambahnya. - DagangNews.com