Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 31 Mac - Hartanah tidak terjual terus kekal pada tahap tinggi dipacu oleh apartmen perkhidmatan, unit kediaman rumah pejabat (SOHO) dan rumah berharga melebihi RM500,000 di lokasi kurang popular.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan Penyata Kewangan 2020, pasaran hartanah mencecah paras terendah dari segi aktiviti pada suku kedua 2020.
Bagaimanapun, ia meningkat sedikit pada suku ketiga apabila kadar faedah semakin rendah dan langkah berterusan bagi menyokong permintaan.
"Kadar faedah yang rendah ini secara tidak langsung meningkatkan pembelian untuk tujuan kediaman sendiri dan pelaburan.
"Permintaan bagi pembiayaan juga meningkat sejajar dengan aktiviti pasaran dengan pertumbuhan permohonan pembiayaan perumahan meningkat kecuali untuk rumah berharga di bawah RM300,000," katanya.
BNM juga mendapati keseluruhan pelancaran menurun dalam semua segmen harga bagi tempoh tiga suku pertama 2020 terutama bagi rumah berharga RM500,000 ke atas yang mengakibatkan pelancaran hartanah baharu dalam segmen ini jatuh kepada 20.5% bagi keseluruhan pelancaran baharu.
Bank pusat itu berkata, bagi tempoh dua suku berturut-turut, nilai transaksi purata perumahan menyaksikan pertumbuhan, memberi sokongan kepada harga rumah.
"Nilai purata transaksi merekodkan pertumbuhan tahunan yang positif bagi dua suku berturut-turut dengan tertumpu kepada segmen harga rumah sederhana hingga tinggi terutama bagi pembeli yang kurang terjejas akibat pandemik COVID-19.
"Ini terus menyokong pertumbuhan bagi purata harga rumah, seperti yang diukur oleh Indek Harga Rumah Malaysia (MHPI), walaupun harga meningkat lebih sederhana ketika suku ketiga 2020," tambahnya.
Menurut laporan itu lagi, sektor hartanah kekal menjadi penyumbang utama iaitu 52% kepada jumlah pembiayaan bank.
BNM bagaimanapun menegaskan pendedahan kepada segmen harta tanah yang lebih rentan masih tetap rendah dan mnurun secara berterusan pada separuh kedua 2020. - DagangNews.com