Hasil bahagian pembungkusan Scientex susut kepada RM650.4 juta pada 1QFY24 | DagangNews Skip to main content

Hasil bahagian pembungkusan Scientex susut kepada RM650.4 juta pada 1QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Dis - Hasil bahagian pembungkusan Scientex Berhad menyusut kepada RM650.4 juta bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2023 (1QFY24) berbanding RM716 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, penysutan hasil sebanyak 9.2% itu disebabkan eksport yang lebih lemah dalam segmen pembungkusan pengguna.

 

"Segmen pembungkusan lain kekal teguh, terutamanya dalam pasaran domestik dan eksport bagi pembungkusan industri serta permintaan domestik untuk pembungkusan pengguna," katanya.

 

Bagi suku tahun berkenaan, kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan 28.6% bagi keuntungan bersih kepada RM137.8 juta didorong oleh peningkatan 7.4% dalam hasil kepada RM1.1 bilion.

 

Prestasi yang bertambah baik didorong bahagian hartanah yang mencatatkan hasil 45.3% lebih tinggi sebanyak RM456.1 juta pada suku berkenaan berbanding RM313.9 juta pada suku yang sama sebelumnya.

 

Pertumbuhan itu didorong oleh kemajuan pembinaan yang lancar untuk semua projek di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Selain itu, pengambilan yang kukuh untuk pelancaran baharu di Scientex Sungai Dua, Scientex Seremban dan Scientex Bandar Jasin menyumbang kepada keputusan firma itu.

 

Mengulas mengenai prospek kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Lim Peng Jin berkata, bahagian pembungkusan akan mengutamakan kecekapan operasi, dan terus mengurangkan kos operasi selain mengurangkan pembaziran pengeluaran.

 

Katanya, langkah-langkah itu membantu kumpulan mengurangkan cabaran sementara sentimen pasaran global yang lebih lembut dan peningkatan kos tenaga.

 

"Selain itu, pendekatan proaktif kami termasuk penggunaan sistem solar PV dengan rancangan jangka panjang untuk pelaksanaan di semua loji domestik, yang akan mengurangkan jejak karbon kami dan meningkatkan kemampanan operasi kami.

 

"Bahagian hartanah, pengambilan tanah terbaharu kami di Jenjarom, Tebrau dan Kulaijaya dijangka siap pada 2024 dan menyumbang secara positif kepada prestasi kami dalam masa terdekat.

 

"Bagi memupuk pertumbuhan yang mampan, kami akan terus mencari sumber bagi bank tanah berharga kompetitif untuk mengekalkan pembangunan jangka panjang kami," katanya.- DagangNews.com