Hasil bon dijangka terjejas akibat PKP penuh | DagangNews Skip to main content

Hasil bon dijangka terjejas akibat PKP penuh

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Hasil bon kerajaan Malaysia iaitu Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dijangka bergerak dalam julat yang kecil minggu ini. 

 

Menurut Kenanga Research dalam prospek pasaran bon mingguan, ini disebabkan permintaan risiko akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh dilihat mengimbagi peningkatan hasil perbendaraan Amerika Syarikat (AS).

 

"Namun, pasaran akan memantau pergerakan pandemik ini, dengan sebarang kenaikan secara berterusan bagi kes jangkitan COVID-19 akan menyebabkan hasil yang rendah," katanya. 

 

Minggu lalu, pergerakan hasil MGS dan GII bercampur-campur antara -8.6 mata atas (bps) kepada 4.6 bps.

 

MGS 10 tahun berkembang 4.6bps kepada 3.249%, paras tertinggi dalam tempoh 2 bulan manakala MGS 3 tahun susut 6.2 bps kepada 2.243%, terendah dalam 5 minggu. 

 

Jelas firma itu, aliran masuk asing dalam pasaran hutang mungkin menyederhana dalam tempoh terdekat akibat jangkitan tempatan COVID-19 yang tinggi dan pelaksanaan PKP penuh. 

 

Katanya, agensi penarafan antarabangsa, Moody's mengekalkan profail kredit Malaysia pada A3 stabil, yang menjadi pemangkin positif kepada bon kerajaan dalam tempoh sederhana kepada jangka panjang.

 

Bagi pasaran kewangan, Kenanga Research berkata, ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar AS sekitar RM4.12.

 

Ini disebabkan indeks dolar AS yang lemah dan penurunan hasil perbendaharaan AS pada Jumaat di luar berikutan data pekerjaan yang lebih lemah berbanding jangkaan.

 

"Bagaimanapun, ringgit dijangka berlegar antara RM4.12 hingga RM4.14 sepanjang minggu ini, dipengaruhi data inflasi AS dan juga petunjuk ekonomi Malaysia," katanya. 

 

Minggu lalu, ringgit mengukuh berbanding dolar AS didorong harga minyak mentah Brent yang tinggi di sebalik pelaksanaan semula PKP penuh.

 

Hasil perbendaraan AS pula kebanyakannya menurun minggu lalu, kecuali bagi perbendaharaan 3 tahun dan 5 tahun susulan terdapat laporan mengenai kadar inflasi yang tinggi. - DagangNews.com