Hasil bon Malaysia 10 tahun mencanak kepada 3.07% | DagangNews Skip to main content

Hasil bon Malaysia 10 tahun mencanak kepada 3.07%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Mac - Kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun melonjak 39.5 mata asas (bps) kepada 3.07% setakat penghujung Februari 2021. 

 

Prestasi itu seiring kadar hasil yang ditonjolkan oleh bon Thailand dan Indonesia, masing-masing menokok 43.0 bps dan 34.1 bps bulan ke bulan (m-o-m).

 

Menurut Ram Rating Services Berhad (Ram Ratings), walaupun terdapat lonjakan mendadak dalam kadar hasil MGS, namun ‘selera’ pelabur asing terus mengukuh pada bulan lalu. 

 

Ini sekali gus menyaksikan Februari, bulan ke-10 berturut-turut mencatatkan pembelian bersih asing. 

 

“Aliran masuk bersih asing berkembang kepada RM7.2 bilion pada Februari, daripada RM3.7 bilion pada bulan sebelumnya. 

 

Baca : Pembelian bon Malaysia oleh pelabur asing berkembang RM7.2 bilion

 

“Ini dipacu oleh pembelian dalam MGS dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII), di mana jumlah terkumpul sehingga RM5.6 bilion berbanding RM3.1 bilion pada Januari.

 

“Dalam masa sama, permintaan bagi kertas kerajaan jangka pendek (Bil Perbendaharaan Malaysia dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia) juga meningkat, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM1.2 bilion (Januari: RM0.4 bilion),” jelas firma penarafan itu dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Sementara itu, ketidakpastian mengenai status Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) menjelang pengumuman FTSE Russell, dijangka pada 29 Mac depan mungkin mengekang ‘selera’ asing bagi bulan ini.

 

Secara keseluruhannya, bulan Februari menyaksikan lonjakan jangka panjang kadar hasil bon global.

 

Di pasaran perbendahaan Amerika Syarikat (AS), kadar hasil 10 tahun meningkat 33 bps m-o-m kepada 1.44% setakat penghujung bulan lalu dengan momentum itu diteruskan pada awal Mac. 

 

Ram Ratings berkata, prestasi ini menyaksikan lonjakan bulanan yang terbesar sejak November 2016.

 

Baca : Perlukah kita ‘gelabah’ jika inflasi naik mendadak?

 

“Lonjakan kadar hasil terutamanya dipacu oleh jangkaan inflasi yang kian meningkat disebabkan prospek pemulihan ekonomi yang lebih awal di tengah-tengah vaksinasi global yang cepat,” tambah Ram Ratings. - DagangNews.com