KUALA LUMPUR 18 Feb - ELK-Desa Resources Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM10.52 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2021, meningkat 15.9% berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM9.08 juta.
Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM38.2 juta daripada RM37.2 juta bagi tempoh sama 2020 berikutan sumbangan lebih tinggi menerusi segmen perabot.
Bagaimanapun, pendapatan dan untung bersih kumpulan bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 31 Disember 2021 masing-masing mencatatkan penurunan disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 menjejaskan operasi perniagaan untuk segmen perabot.
Ini menyebabkan pendapatan bagi tempoh itu susut 11.5% kepada RM92.93 juta berbanding RM105 juta manakala untung bersih pula susut 4.17% kepada RM20.24 juta daripada RM21.12 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Setakat 31 Disember 2021, pendapatan sewa beli kumpulan direkodkan pada RM469.29 juta, iaitu 10% lebih rendah berbanding RM523.13 juta tahun lalu. Ini disebabkan kumpulan mengambil sikap yang lebih berhati-hati untuk mengekalkan kualiti aset.
Bagi segmen sewa beli kumpulan, hasil pada suku ketiga susut 3% kepada RM22.35 juta manakala keuntungan sebelum cukai adalah 9% lebih tinggi kepada RM12.29 juta berikutan kos pinjaman yang lebih rendah dan rosot nilai.
Untuk segmen perabot, hasil menurun sebanyak 17% kepada RM29.08 juta terutama disebabkan gangguan operasi akibat pelaksanaan sekatan pergerakan.
Dalam kenyataan, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan ELK-Desa, Teoh Seng Hee berkata, peningkatan prestasi kumpulan pada suku ketiga adalah seiring dengan normalisasi operasi perniagaan berikutan sekatan pergerakan.
Katanya, walaupun ketidaktentuan berkurangan berbanding 2021, landskap operasi masing kekal mencabar dalam tempoh terdekat.
"Dalam tempoh jangka masa pendek akan datang, kami akan terus mengambil pendekatan berhemah dalam menguruskan portfolio sewa beli, memastikan kualiti aset di samping mengekalkan, jika tidak, mengembangkan pendapatan sewa beli kami," katanya. - DagangNews.com