Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Julai - Syarikat penyedia perkhidmatan logistik dan pengangkutan antarabangsa, Freight Management Holdings Berhad (FMH) dijangka memperoleh hasil yang lebih kukuh menjelang suku keempat tahun kewangan Jun 2022 (4QFY6/22F) dan seterusnya.
CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dinilai berdasarkan kepada tiga kelebihan yang akan diperoleh syarikat berkenaan.
"Walaupun wujudnya impak pelaksanaan PKP yang dijangka tidak melebihi Julai 2021, kami yakin FMH akan mencatatkan hasil suku tahunan yang lebih kuat dari 4QFY6/22F dan seterusnya.
"Ini disokong oleh perolehan pelanggan baharu susulan permintaan yang tinggi bagi perkhidmatan yang berkaitan dengan pengangkutan.
"Keduanya, kerugian yang lebih rendah berbanding syarikat bersekutu dan JV serta skala ekonomi yang lebih tinggi," jelas CGS-CIMB Research.
Dalam tempoh pelaksaan PKP kini, FMH didapati masih beroperasi kerana tergolong dalam perkhidmatan penting.
Bagaimanapun, CGS-CIMB Research mendapati perniagaan FMH terjejas sebanyak 20% hingga 25% sepanjang tempoh tersebut.
Hal ini kerana sebilangan pelanggan syarikat berkenaan tidak dapat beroperasi dalam tempoh berkenaan.
Meskipun begitu, FMH turut berhasrat untuk terus mengembangkan perniagaannya di peringkat domestik dan luar negara.
Bagi perniagaan luar negara, FMH merancang untuk mendapatkan pelanggan baharu dengan memanfaatkan rangkaian globalnya.
Selain itu, syarikat berkenaan merancang untuk mendapatkan penyedia perkhidmatan logistik di pasaran baharu dan sedia ada.
"Bagi pasaran domestik, FMH merancang untuk mengembangkan kumpulan trak dalaman secara beransur-ansur bagi menyokong perniagaannya yang berkembang dalam segmen berkenaan.
"FMH juga berusaha untuk mendapatkan ruang gudang baharu seiring dengan permintaan yang tinggi daripada pelanggan baharu dan sedia ada.
"Kami sedar bahawa gudang FMH yang sedia ada beroperasi pada kadar optimum 85% hingga 90%," jelas CGS-CIMB Research.
CGS-CIMB Research mengambil pendekatan mengekalkan saranan 'tambah' saham FMH dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM1.20. - DagangNews.com