Hasil Hong Leong Bank susut 6.7% kepada RM1.39 bilion pada 1QFY24 kesan perbelanjaan operasi tinggi | DagangNews Skip to main content

Hasil Hong Leong Bank susut 6.7% kepada RM1.39 bilion pada 1QFY24 kesan perbelanjaan operasi tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - Hasil Hong Leong Bank Berhad susut kepada RM1.39 bilion bagi suku tahun pertama berakhir 30 September 2023 (1QFY24) berbanding RM1.49 bilion pada suku sama tahun sebelumnya kesa daripada perbelanjaan operasi tinggi.

 

Kumpulan bagaiamanapun mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.24 bilion, peningkatan RM56 juta atau 4.7% berbanding suku sama sebelum ini disebabkan  pulangan bersih bersih elaun bagi kerugian rosot nilai ke atas pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan sebanyak RM88.7 juta dan bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat bersekutu sebanyak RM89.5 juta.

 

"Bagaimanapun, ia diturunkan oleh pendapatan bersih yang lebih rendah sebanyak RM105.8 juta, perbelanjaan operasi yang lebih tinggi sebanyak RM15.7 juta dan peruntukan kerugian rosot nilai ke atas kewangan pelaburan dan aset lain sebanyak RM700,000," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Dalam perkembangan sama, untung bersih kumpulan itu meningkat 4.9% kepada RM1.03 bilion pada 1QFY24 dengan pinjaman serta pembiayaan kasar berkembang 7.2% dari tahun ke tahun.

 

Margin faedah bersih (NIM) kumpulan meningkat kepada 1.84% daripada 1.83% pada suku sebelumnya manakala pendapatan bukan faedah untuk 1QFY24 dikekalkan pada RM268 juta dengan nisbah pendapatan bukan faedah sebanyak 19.2%.

 

Ini disokong oleh pendapatan pengurusan kekayaan yang lebih tinggi, pertumbuhan dalam yuran berkaitan kad kredit sejajar dengan pemulihan ekonomi, ditambah dengan prestasi yang lebih baik dalam kewangan perdagangan dan pertukaran asing pada suku tersebut

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Lam berkata, pihaknya kekal berwaspada dan tegas dalam melaksanakan keutamaan strategik dan memacu pengembangan perniagaan yang berterusan.

 

"Kami memulakan tahun kewangan baharu dengan satu set keputusan memberangsangkan bagi 1QFY24 diterajui oleh pertumbuhan pinjaman/pembiayaan yang mampan, kualiti aset yang sihat, pembiayaan berhemat dan kedudukan mudah tunai di tengah-tengah cabaran luar yang berterusan dan turun naik dalam pasaran global," katanya dalam satu kenyataan berasingan, hari ini.

 

Beliau berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar sederhana sekitar 4% tahun ini sebelum meningkat 4% hingga 5% pada 2024.

 

"Permintaan domestik yang mampan, disokong oleh pertumbuhan sektor swasta serta perbelanjaan fiskal kerajaan dijangka menjadi teras utama dengan dorongan selanjutnya daripada jangkaan pemulihan dalam eksport.

 

"Bagaimanapun, kesan daripada pengetatan dasar yang lebih awal, inflasi yang tinggi dan ketidaktentuan geopolitik memberikan risiko kepada dunia serta ekonomi domestik," katanya.- DagangNews.com