Hasil Karex diunjur meningkat didorong pelancaran produk margin tinggi pada FY25 | DagangNews Skip to main content

Hasil Karex diunjur meningkat didorong pelancaran produk margin tinggi pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 April - Karex Bhd diunjur berada pada kedudukan terbaik untuk meningkatkan hasil pada masa hadapan didorong pelancaran produk baharu dengan margin tinggi pada tahun kewangan 2025 (FY25).

 

Katanya, kos pengeluaran yang rendah selain kecekapan operasi yang lebih baik dijangka memacu pertumbuhan hasil pembuat kondom itu walaupun berdepan beberapa cabaran.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tinjauan mereka ke kilang pembuatan kumpulan itu di Hat Yai, Thailand mendapati bahawa mereka yakin dengan produk baharu mereka iaitu kondom sintetik yang lebih nipis dan memerlukan bahan yang kurang untuk dihasilkan.

 

Katanya, kumpulan itu terlibat dengan pelanggan pengeluar peralatan asli (OEM) utama dengan pelancaran produk disasarkan pada FY25.

 

“Kumpulan itu merancang untuk menambah lima lagi barisan pengeluar di kilang di Thailand bagi meningkatkan kapasiti tahunannya sebanyak 2.5 kali ganda daripada kira-kira 200 juta keping pada masa ini kepada kira-kira 700 juta keping pada tahun ini. 

 

"Mereka berharap untuk mendapatkan pensijilan CE bagi pematuhan terhadap keperluan keselamatan, kesihatan dan perlindungan alam sekitar Kesatuan Eropah menjelang Jun 2024, diikuti dengan kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat pada separuh pertama 2025," katanya dalam satu nota kajian.

 

Kenanga Research berkata, kilang kumpulan itu di Thailand adalah yang terbesar berbanding kilangnya di Pelabuhan Klang, Pontian dan Senai di Malaysia.

 

Katanya, kilang di Thailand itu mempunyai 25 rangkaian pembuatan dengan kapasiti 2.5 bilion keping setiap tahun. 

 

Kumpulan itu menggaji kira-kira 1,500 pekerja Thailand, membentuk kira-kira 44% daripada jumlah tenaga kerja Karex.

 

"Rasional penubuhan kilang itu termasuk akses kepada tenaga buruh dan input lateks pada kos yang lebih rendah, kadar cukai korporat yang lebih rendah sebanyak 20% (berbanding 24% di Malaysia) dan insentif pelaburan yang menarik.

 

"Karex meningkatkan kecekapan dalam perniagaan tendernya, yang menyumbang kira-kira 16% kepada perolehan kumpulan untuk separuh pertama tahun kewangan semasanya dengan mengautomasikan proses ujian untuk mengendalikan pesanan pelanggan," katanya.

 

Firma penyelidikan mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.06 sesaham. - DagangNews.com