Hasil lebih baik lonjakkan untung bersih Q1 AmBank kepada RM387 juta | DagangNews Skip to main content

Hasil lebih baik lonjakkan untung bersih Q1 AmBank kepada RM387 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Ogos - AMMB Holdings Berhad (AmBank) berjaya menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melonjak 5.9% pada suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22) kepada RM386.6 juta berbanding RM365.2 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Ini terutamanya dipacu oleh peningkatan 13.3% dari segi hasil kumpulan kepada RM1,237.9 juta, dipacu oleh pertumbuhan pemberian pinjaman dan margin faedah bersih (NIM) yang lebih tinggi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, landasan pemulihan ekonomi Malaysia terus tidak menentu dengan peningkatan semula jangkitan COVID-19 dan penguatkuasaan sekatan pergerakan yang menjejaskan banyak perniagaan. 

 

“Dalam masa sama, kami terus melaksanakan disiplin kos, yang diceminkan oleh nisbah kos kepada pendapatan (CTI) AmBank lebih baik pada 40.0%. Tidak dinafikan, usaha transformasi jangka panjang, daripada strategi Top 4 kami dan ketika ini meneruskan strategi Focus 8, telah meletakkan kumpulan dalam kedudukan yang teguh untuk berdepan landskap operasi mencabar ketika ini. 

 

“Kos kredit bersih kumpulan bagi suku tahun semasa pada kadar 65 mata asas (bps), di mana sepatutnya menjadi 35 bps jika tidak termasuk pertindihan. Pelanggan kami amat penting kepada pertumbuhan berterusan kumpulan dan kami komited untuk membantu mereka dengan memenuhi keperluan pembiayaan individu. 

 

“Walaupun kami menjangkakan risiko rosot nilai akan meningkat bagi portfolio kredit kami, namun ini hanya akan menjadi lebih ketara pada baki FY22 nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagi suku tahun semasa, pendapatan faedah bersih (NII) AmBank menokok 33.3% berbanding tempoh sama tahun lalu, dipacu oleh pertumbuhan pinjaman sebanyak 7.6%, ditambah pergerakan pengubahsuaian bersih bernilai RM90.1 juta yang berlaku antara dua suku tahun tersebut. 

 

Kumpulan menyaksikan pemberian pinjaman dan pembiayaan kasar berkembang 0.7% kepada RM115.6 bilion, atau berjumlah RM808.3 juta setakat ini.

 

Bagaimanapun, pihak Lembaga Pengarah kumpulan tidak mencadangkan sebarang bayaran dividen bagi suku tahun tersebut. - DagangNews.com