Hasil Notion Vtec bagi 4QFY24 dijangka berkembang sederhana kesan ketidakstabilan tukaran mata wang asing | DagangNews Skip to main content

Hasil Notion Vtec bagi 4QFY24 dijangka berkembang sederhana kesan ketidakstabilan tukaran mata wang asing

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan hasil Notion Vtec Bhd bagi 4QFY24 berkembang pada kadar sederhana kesan daripada ketidakstabilan tukaran mata wang asing.

 

Katanya, pendapatan stabil membolehkan kumpulan itu berada di landasan tepat untuk meneruskan perkembangan selanjutnya pada FY25.

 

"Kumpulan ini yakin FY24 akan mencatatkan rekod baharu untuk hasil dan keuntungan.

 

"Mereka berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI), kemajuan dalam kapasiti simpanan pemacu cakera keras (HDD), kepelbagaian pembuatan global serta kebangkitan semula sektor elektrik dan elektronik (E&E)" katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil bagi 3QFY24 meningkat kepada RM135.5 juta berbanding RM83.2 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Jun 2024 (9MFY24) kumpulan itu kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM42.2 juta berbanding kerugian RM9.6 juta disokong peningkatan hasil sebanyak RM340.8 juta bagi tempoh berkenaan berbanding RM251.2 juta pada 9MFY23.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Notion Vtec bagi 3Q melonjak lebih 10 kali ganda kepada RM20.2 juta dipacu sumbangan segmen EMS, HDD

 

Firma penyelidikan itu berkata, 3QFY24 merekodkan hasil tertinggi sebanyak RM136 juta diterjemahkan kepada untung bersih teras sebanyak RM19 juta menjadikan 9MFY24 kepada RM39 juta mewakili peningkatan melebihi 100%, menyumbang 81% dan 71% daripada ramalan tahun penuh HLIB dan konsensus.

 

Katanya, hasil positif itu adalah disebabkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) yang lebih kukuh daripada jangkaan.

 

Dari suku tahun ke suku tahun, hasil positif itu dibantu oleh tukaran mata wang asing  yang menguntungkan, perolehan meningkat 21% disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada HDD (31%) dan segmen perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) (77%) yang lebih daripada mencukupi untuk mengimbangi kelemahan dalam automotif (-12%) dan kamera/industri (-31%).

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.28 sesaham," katanya. - DagangNews.com