Hasil perniagaan Burger & Lobster dijangka tidak mencukupi imbangi kelemahan jualan The Body Shop | DagangNews Skip to main content

Hasil perniagaan Burger & Lobster dijangka tidak mencukupi imbangi kelemahan jualan The Body Shop

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Hasil perniagaan Burger & Lobster yang diambil alih oleh Innature Bhd pada Mei 2024, dijangka tidak mencukupi untuk mengimbangi jualan lemah daripada The Body Shop.

 

Public Investment Bank Research (Publicinvest) juga menurunkan unjuran pendapatan InNature sebanyak 7% bagi FY24 hingga FY26. 

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan persekitaran runcit Malaysia kekal mencabar memandangkan kos sara hidup yang kekal tinggi membawa kepada kelemahan perbelanjaan dalam kalangan pengguna terutamanya dalam segmen runcit.

 

"Kami juga meramalkan pendapatan suku tahun ke suku tahun lebih lemah untuk kumpulan itu memandangkan ketiadaan musim perayaan yang sebelum ini melonjakkan jualan mereka pada 4QFY24.

 

"Bagaimanapun, kehadiran semula pelancong antarabangsa mungkin dapat mengimbangi kelemahan perbelanjaan pengguna yang lemah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: InNature kurangkan kebergantungan kepada The Body Shop, kini teroka pasaran F&B

 

Terdahulu, InNature Berjaya menyelesaikan pengambilalihan 100% kepentingan ekuiti dalam Blu Restaurant untuk jumlah pertimbangan pembelian sebanyak RM21.3 juta, yang dipenuhi sepenuhnya secara tunai.

 

Katanya, Restoran Blu kini mengendalikan satu cawangan Burger & Lobster di KLCC (tidak termasuk cawangan di Genting) dan mempunyai hak eksklusif untuk membuka dan mengendalikan restoran itu di Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

 

"Kami mendapati bahawa InNature merancang untuk membuka restoran Burger & Lobster baharu di Jakarta pada 2025. Langkah itu membolehkan kumpulan itu menjana aliran pendapatan baharu melangkaui produk kecantikan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) 28 sen sesaham.- DagangNews.com