Hasil Q1 Alliance meningkat 14.6%, hulur bantuan kewangan RM14 bilion kepada peminjam | DagangNews Skip to main content

Hasil Q1 Alliance meningkat 14.6%, hulur bantuan kewangan RM14 bilion kepada peminjam

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Alliance Bank Malaysia Berhad menyaksikan hasil bagi suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22) meningkat 14.6% kepada RM483 juta daripada RM422 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

 

Ini sekali gus melonjakkan keuntungan bersih bank sebanyak 40% kepada RM146 juta daripada RM104 juta yang dicatatkan pada 1QFY21.

 

Menurut kenyataan Alliance, bank juga mencatatkan peningkatan dari segi pendapatan faedah bersih kepada RM364.5 juta, terutamanya dipacu oleh pengoptimuman campuran deposit dan harga semula Deposit Tetap (FD). 

 

“Peningkatan hasil dan pengurusan perbelanjaan yang berhemah menyaksikan keuntungan operasi sebelum peruntukan meningkat kepada RM289.6 juta. Pada masa yang sama, nisbah kos dan pendapatan lebih rendah pada 40%.

 

“Kos kredit bersih 1QFY22 bank kekal pada 21.8 mata asas (bps), yang merangkumi pertindihan pengurusan 14.9 bps. Pertindihan itu menyumbang risiko berkaitan sektor rentan dan peningkatan pengubahsuaian pinjaman kerana impak COVID-19,” jelas Alliance.

 

Dalam pada itu, bank mendedahkan sebanyak RM14 bilion nilai bantuan kewangan telah disalurkan kepada pelanggan dan perniagaan setakat ini. 

 

Kata Alliance, ini meliputi 32% daripada jumlah buku pinjaman bank. 

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM9.8 bilion diluluskan di bawah inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

 

Joel Kornreich
Joel Kornreich

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance, Joel Kornreich berkata, pihaknya juga membantu dalam perancangan dan kedudukan semula pertumbuhan pelanggan sebagai tambahan kepada bantuan kewangan dan bukan kewangan.

 

“Pada 1QFY22, kami mendaftarkan 900 pelanggan pemilik perniagaan untuk menjadi pelanggan perbankan pengguna baharu kami, dan menyasarkan untuk mendaftarkan 8,000 pada tahun kewangan semasa,” katanya.

 

Sejajar dengan matlamat pertumbuhannya, anak syarikat Islamik Alliance menyasarkan untuk menyumbang lebih daripada 25% kepada keuntungan operasi menjelang FY25. - DagangNews.com