Hasil Q3 Kumpulan AirAsia susut 86% kepada RM443 juta | DagangNews Skip to main content

Hasil Q3 Kumpulan AirAsia susut 86% kepada RM443 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Kumpulan Air Asia Berhad menyaksikan penyusutan hasil sehingga 86% pada suku ketiga 2020 (3Q20) kepada RM443 juta berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Bagaimanapun, nilai itu melonjak sebanyak 272% bagi perbandingan suku tahunan. 

 

Hasil bagi segmen penerbangan merosot sebanyak 87% pada suku sama berbanding tahun lalu, tetapi meningkat lima kali ganda berbanding suku kedua 2020 (2Q20).

 

Segmen bukan penerbangan pula mencatatkan hasil yang merosot 45% berbanding tahun lalu. 

 

Keseluruhan kumpulan itu mencatatkan kerugian pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) 3Q20 sebanyak RM454 juta, lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM691 juta. 

 

AirAsia dalam laporan prestasi kewangan tanpa audit hari ini menjelaskan, tempoh suku tahun itu juga menyaksikan kerugian operasi bersih sebanyak RM1.2 bilion berbanding RM2 juta keuntungan bagi suku sama sebelumnya.

 

“Ketika kumpulan berjaya mengurangkan kos tetap sebanyak 50% berbanding tahun lalu, kerugian itu didorong oleh pengurangan hasil ketika permintaan perjalanan yang lemah susulan sempadan antarabangsa masih ditutup,” kata AirAsia. 

 

Sementara itu, prestasi AirAsia Digital untuk suku itu menyaksikan airasia.com berjaya merendahkan kerugian EBITDA sebanyak 72% kepada RM2.9 juta, sementara pendapatan BigPay meningkat 4% berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

 

“Keutamaan kami ketika ini adalah untuk meningkatkan operasi secara beransur-ansur mengikut fasa, bermula dengan memperkukuh kedudukan domestik di pasaran utama memandangkan sempadan masih ditutup. 

 

Bo Lingam
Bo Lingam

 

“Bagi 4Q20, kami menyasarkan operasi meningkat sehingga 31% daripada kapasiti domestik sebelum COVID-19 untuk AirAsia Malaysia, AirAsia Indonesia (47%) dan AirAsia Philippines (13%),” kata Presiden (Penerbangan) Kumpulan AirAsia, Bo Lingam.


 

Kumpulan AirAsia menjangkakan AirAsia Thailand mampu mencapai kapasiti domestik melebihi paras sebelum COVID-19 pada penghujung tahun ini dengan AirAsia India boleh beroperasi sehingga 67%.

 

Syarikat penerbangan tambang murah itu juga sedang meneroka peluang pasaran di IndoChina.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes percaya kumpulan syarikat mempunyai mudah tunai (liquidity) cukup pada tahun hadapan dengan jangkaan pertumbuhan meningkat dalam permintaan perjalanan udara ketika pembentukan laluan gelembung perjalanan dan hijau.

 

Tony Fernandes
Tony Fernandes

 

“Kami mengumumkan penutupan operasi AirAsia Japan pada awal Oktober lalu. Walaupun ia merupakan keputusan sukar, namun penting untuk mengurangkan penggunaan tunai kerana cabaran operasi pasaran susulan pandemik itu. 

 

“Kami meletakkan harapan tinggi terhadap ketersediaan dan akses vaksin yang berkesan, ini membolehkan AirAsia mampu ‘terbang’ semula. Kesemua faktor luaran ini akan menjadi penyumbang positif untuk mempercepat pemulihan perjalanan udara, yang kami jangka melonjak semula pada pertengahan 2021,” kata beliau. - DagangNews.com