Hasil segmen penderia susut, MIDF Research semak turun unjuran pendapatan Globetronics bagi FY24 kepada RM28.5 juta | DagangNews Skip to main content

Hasil segmen penderia susut, MIDF Research semak turun unjuran pendapatan Globetronics bagi FY24 kepada RM28.5 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - MIDF Research menyemak turun unjuran pendapatan Globetronics Technology Bhd bagi FY24 kepada RM28.5 juta kesan daripada penyusutan hasil dalam segmen penderia.

 

Katanya, keadaan itu diterajui hasil FY23 yang lebih rendah sebanyak RM131.8 juta (-26.8%) terutamanya daripada produk penderia.

 

"Secara keseluruhannya, kami melihat bahawa prestasi kewangan FY23 kumpulan itu berada di bawah jangkaan, membentuk kira-kira 93.1% daripada anggaran pendapatan tahun penuh.

 

"Bagaimanapun, prospek jangka pendek kekal lemah dengan produk matang untuk terus mengalami pemuatan jumlah yang lebih rendah," katanya dalam satu  ota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih Globetronics susut kepada RM6.51 juta berbanding RM12.05 juta pada tempoh sama sebelumnya, manakala hasil susut kepada RM32.55 juta daripada RM43.05 juta setahun sebelumnya.

 

Hasil dan untung bersih yang lebih rendah itu disebabkan oleh jumlah pemuatan yang lebih rendah daripada pelanggan kumpulan tertentu.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, untung bersih susut kepada RM26.42 juta daripada RM45.46 juta sebelumnya, manakala hasil lebih rendah pada RM131.82 juta berbanding RM180.05 juta setahun sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi lemah itu disebabkan terutamanya jumlah pemuatan yang lebih rendah terutamanya pada Disember 2023 di mana penutupan akhir tahun dua minggu turut dilaksanakan.

 

Katanya, kadar penggunaan kilang berlegar sekitar 67% hingga 68%.

 

"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM1.10 sesaham," katanya.- DagangNews.com