KUALA LUMPUR 29 Nov - Hasil Solarvest Holdings Berhad susut 2.43% kepada RM139.9 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2023 (2QFY24) berbanding RM143.4 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun lalu.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, penyusutan kecil itu adalah disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada projek ladang solar berskala besar 4 (LSS4).
"Bagaimanapun, kumpulan mencatatkan untung sebelum cukai sebanyak RM9.8 juta berbanding RM9.4 juta pada suku terdahulu hasil sumbangan jualan elektrik daripada salah satu loji LSS4 yang ditugaskan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Davis Chong Chun Shiong berkata, loji LSS4 29.6 megawatt-peak (MWp) kami yang baru ditauliahkan telah berjaya memulakan operasi, memperoleh pendapatan berulang jangka panjang daripada jualan elektrik dalam tempoh 25 tahun akan datang.
"Baki dua loji LSS4 dengan jumlah kapasiti terpasang 37.7 MWp berada di landasan untuk pentauliahan menjelang akhir 2023.
"Dalam segmen EPCC, buku pesanan kumpulan yang belum dibilkan berjumlah RM289 juta termasuk RM75 juta daripada projek LSS4, yang semakin hampir selesai," katanya dalam satu kenyataan berasingan, hari ini.
Beliau berkata, selepas kejayaan menyiapkan baki projek LSS4 EPCC, pihaknya berhasrat mengembangkan lagi buku pesanan dengan memanfaatkan peluang daripada kuota 800 MW di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).
"Kami sedang giat mengejar peluang projek EPCC yang berpotensi sekitar 443.4 MWp di bawah CGPP untuk menambah buku pesanan pada 4QFY24," katanya.
Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat sebanyak 43.2% kepada RM7.2 juta pada 2QFY24 berbanding RM5 juta pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com