Hasil Teo Seng Capital meningkat 24.5% kepada RM183.4 juta bagi 1QFY23 dipacu gabungan harga jualan telur yang positif | DagangNews Skip to main content

Hasil Teo Seng Capital meningkat 24.5% kepada RM183.4 juta bagi 1QFY23 dipacu gabungan harga jualan telur yang positif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mei - Hasil Teo Seng Capital Berhad meningkat 24.5% kepada RM183.4 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding RM147.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai suku tahunan kumpulan itu berjumlah RM24.4 juta, mewakili pertumbuhan luar biasa sebanyak 553.5% berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.7 juta daripada tempoh yang sama tahun lepas.

 

Segmen penternakan ayam mencatatkan hasil sebanyak RM158.3 juta dengan keuntungan sebelum cukai bertambah baik daripada RM1.2 juta kepada RM21.4 juta dipacu oleh gabungan harga jualan telur yang lebih baik, peningkatan kuantiti jualan telur dan sumbangan yang lebih tinggi daripada jualan ayam tua.

 

"Subsidi telur yang diberikan oleh kerajaan telah mengurangkan kesan kos makanan yang tinggi yang berterusan.

 

"Segmen pelaburan dan perdagangan produk berkaitan ayam mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM3.1 juta dan keuntungan sebelum cukai mampan sebanyak RM3 juta, peningkatan sebanyak 17.9% disebabkan oleh permintaan yang stabil dan sumbangan keuntungan yang mampan bagi tempoh dalam tinjauan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, bagi tempoh sembilan bulan akan datang, mereka akan berdepan pelbagai cabaran termasuk inflasi makanan dan kos bahan mentah yang tinggi seperti jagung dan kacang soya terus memberi kesan kepada industri ayam itik.

 

Katanya, telur kekal sebagai makanan ruji yang paling berpatutan untuk isi rumah di Asia dan dikenali sebagai sumber protein termurah.

 

Bagaimanapun katanya, industri ayam itik menghadapi ketidaktentuan pasaran seperti kos bahan mentah yang tinggi, susut nilai ringgit dan peningkatan kos pengeluaran yang disebabkan oleh inflasi global. - DagangNews.com