Hasil tuaian buah tandan segar Kim Loong dijangka meningkat 15% pada FY24 - TA Research | DagangNews Skip to main content

Hasil tuaian buah tandan segar Kim Loong dijangka meningkat 15% pada FY24 - TA Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jan - TA Research menjangkakan hasil tuaian buah tandan segar (BTS) Kim Loong Resources Berhad pada FY24 meningkat sebanyak 15% dari tahun ke tahun dengan lebih banyak kawasan yang ditanam semula menjadi matang selain profil umur yang lebih baik bagi kawasan produktif sawit muda.

 

Katanya, bagi operasi pengilangan minyak sawit, jumlah kuantiti pemprosesan dijangka sekurang-kurangnya melibatkan 1.5 juta tan BTS bagi FY24.

 

"Harga minyak sawit mentah adalah sangat sukar diramal.

 

"Bagaimanapun pihak pengurusan berharap agar purata harga minyak sawit mentah kekal melebihi RM3,800 setiap tan bagi FY24," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih teras kumpulan itu bagi 3QFY24 meningkat sebanyak 31.5% dari tahun ke tahun kepada RM47.2 juta disokong pertambahan hasil sebanyak 11.5%.

 

Secara kumulatif, pendapatan teras 9MFY24 Kim Loong susut sebanyak 2.2% kepada RM75.2 juta selaras dengan penyusutan hasil sebanyak 21.4%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun pertumbuhan pengeluaran BTS lebih tinggi sebanyak 19.5% tetapi keuntungan operasi bagi 9MFY24 merosot 20.5% kepada RM92.4 juta.

 

Katanya, keputusan itu disebabkan oleh harga jualan BTS yang lebih rendah, susut sebanyak 27.3% kepada purata RM718 bagi setiap tan.

 

"Bahagian pengilangan minyak sawit bagaimanapun mencatatkan hasil lebih rendah iaitu penyusutan 21.3% tetapi keuntungan operasi bagi 9MFY24 meningkat sebanyak 13.4% kepada RM92.5 juta didorong hasil daripada margin pemprosesan yang lebih baik," katanya.

 

TA Research juga menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan bagi FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 14.4% dan 16.5% selepas mengambil kira keputusan suku ketiga lebih baik daripada jangkaan.

 


Firma penyelidikan itu juga menyemak naik penarafan Kim Loong kepada 'beli' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM2.23 berbanding RM1.95 sesaham. - DagangNews.com