HAWANA wadah perkukuh profesion pengamal media di Malaysia - UPM | DagangNews Skip to main content

HAWANA wadah perkukuh profesion pengamal media di Malaysia - UPM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 26 Mei - Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang akan diadakan 27 hingga 29 Mei 2023 dilihat sebagai satu acara penting dan peluang keemasan bagi pengamal media profesional untuk memacu arah tuju di samping mengukuhkan kefahaman masyarakat tentang bidang tersebut di negara ini.

 

Acara yang bakal berlangsung di Ipoh, Perak bertemakan ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi' itu bakal menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media profesional daripada pelbagai badan media.   

 

Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mastura Mahamed berkata, pada tahun ini, HAWANA menjadi sangat penting kerana merupakan tahun penuh cabaran bagi survival sektor media dan pemberitaan di Malaysia.

 

Katanya, laporan terkini 'Reporters Without Borders' menunjukkan Malaysia menunjukkan trend peningkatan ke tangga 73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023, yang mana kedudukan negara meningkat 40 anak tangga dengan mencatat 62.8 mata berbanding tahun sebelumnya pada 51.5 mata.

 

"Lebih menarik, Malaysia turut menduduki kedudukan tertinggi di ASEAN, diikuti Thailand pada kedudukan ke-106, Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178). 

 

"Cabaran besar dalam menyaingi dan mengimbangi pengaruh perkembangan teknologi serta media sosial dalam aspek pengamalan, pelaporan kewartawanan dan pemberitaan telah membawa perubahan besar dalam cara berita disampaikan kepada masyarakat. 

 

"Faktor laporan berita seimbang dan telus menjadi pengukur kebebasan media di peringkat global," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

hawana

 

 

Menurut Mastura, wartawan harus terus beradaptasi dengan perubahan, memahami tren terbaru, serta mengatasi cabaran berterusan seiring perkembangan teknologi dan keperluan penyampaian berita pantas dengan masih mengekalkan kredibiliti penghasilan berita dan agensi berita yang melaporkannya.

 

Katanya, berdasarkan laporan terkini pelbagai sumber media, terdapat banyak gesaan daripada pengmal media dan ahli akademik agar wartawan dilindungi undang-undang dalam menghadapi risiko dan tekanan ketika menjalankan tugas mereka. 

 

"HAWANA juga menjadi simbol penting usaha berterusan menghargai keberanian dan dedikasi wartawan dalam menghadapi risiko ini untuk menyampaikan informasi dan berita utama kepada masyarakat.

 

"Ini termasuk penganjuran forum bagi meningkatkan pengamalan pelaporan berita secara beretika bersama hala tuju jelas dengan penyediaan garis panduan yang seragam bagi menetapkan pendirian dan menyatukan suara pengamal media secara lebih bersepadu," katanya.

 

Beliau berkata, langkah ini bukan sahaja dapat memastikan bidang kewartawanan kekal relevan dan dihormati, malah ia akan memberi motivasi kepada generasi muda untuk menyambung perjuangan dan memartabatkan lagi profesion ini pada masa hadapan.

 

Baru-baru ini, media juga melaporkan tentang inisiatif penubuhan Tabung Kasih @ HAWANA bagi membantu pengamal media dan bekas wartawan yang memerlukan bantuan kebajikan.  

 

"Ini adalah satu inisiatif yang penting bagi meningkatkan semangat kekitaan dan keprihatinan pengamal media terhadap cabaran kehidupan yang dialami rakan seperjuangan," katanya.

 

Tambahnya, beliau berharap dengan penganjuran HAWANA dapat memberi nafas baharu hala tuju bidang kewartawanan untuk terus bersinar dan berbakti kepada semua lapisan masyarakat. - DagangNews.com