Hektar Asset Management lantik Johari Shukri sebagai CEO | DagangNews Skip to main content

Hektar Asset Management lantik Johari Shukri sebagai CEO

Johari Shukri Jamil
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 10 Jun – Hektar Asset Management Sdn. Bhd., selaku Pengurus Hektar Real Estate Investment Trust mengumumkan pelantikan Johari Shukri Jamil, 50, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (“CEO”) Hektar Asset Management berkuat kuasa 11 Jun 2022.

 

Johari menggantikan Dato' Hisham bin Othman, 60, yang telah mencapai umur persaraan wajib selepas menerajui Hektar Asset Management sebagai CEO sejak Mei 2016.

 

"Lembaga Pengarah ingin merakamkan penghargaan kepada Dato' Hisham di atas sumbangan & khidmatnya yang berharga dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan mencapai yang terbaik dalam usaha masa depannya,'' kata syarikat itu dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Johari telah dilantik ke Lembaga Pengarah Hektar REIT sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif pada Februari 2022 dan kini dilantik semula sebagai Pengarah Eksekutif/CEO.

 

Beliau memiliki lebih 20 tahun pengalaman korporat yang luas, memegang jawatan kepimpinan kanan dalam pelbagai industri, termasuk Pembangunan Hartanah & Perindustrian, Logistik & Kejuruteraan.

 

Kepakaran beliau dalam pengurusan aset, kewangan korporat, strategi, operasi & mengurus perniagaan untuk mencapai hasil yang diinginkan melalui inisiatif transformasi adalah sangat relevan dengan REIT.

 

"Dan pengalaman itu dijangka dapat digunakan dengan baik dalam menerajui Hektar REIT untuk meneruskan pemulihan pasca pandemik dan untuk carta inisiatif strategik baharu," kata Hektar.

 

Johari memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Kimia dari UTM dan Sijil Program Kepimpinan Lanjutan daripada Judge Business School of the University of Cambridge.

 

"Lembaga Pengarah dan Pengurusan berharap dapat bekerjasama dengan Johari untuk membawa Hektar REIT ke fasa pertumbuhan seterusnya sambil kami meneruskan usaha kami untuk mengoptimumkan dan mengembangkan portfolio REIT untuk pulangan yang stabil dan mampan kepada Pemegang Saham kami,'' kata syarikat itu.

 

Hektar Real Estate Investment Trust adalah REIT tertumpu runcit yang tersenarai awam pertama di Malaysia.

 

Objektif utama Hektar REIT adalah untuk menyediakan pemegang unit pendapatan dividen yang mampan dan untuk mencapai peningkatan modal jangka panjang REIT.

 

Hektar REIT telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 4 Disember 2006 dan kini memiliki 2 juta kaki persegi ruang runcit di 4 negeri dengan aset bernilai RM1.16 bilion pada 31 Disember 2021.

 

Rakan kongsi strategik REIT ialah Frasers Centrepoint Trust, sebahagian daripada Frasers Property Ltd, beribu pejabat di Singapura. Hektar REIT diuruskan oleh Hektar Asset Management Sdn Bhd dan pengurus hartanah ialah Hektar Property Services Sdn Bhd.

 

Portfolio hartanah komersial Hektar REIT termasuk Subang Parade di Subang Jaya, Selangor; Perarakan Mahkota di Melaka; Wetex Parade & Hotel Klasik di Muar, Johor; Dataran Tengah di Sungai Petani, Kedah; Kulim Central di Kulim, Kedah dan Segamat Central di Segamat, Johor. - DagangNews.com