Henkel ambil alih perniagaan dandanan rambut Shiseido | DagangNews Skip to main content

Henkel ambil alih perniagaan dandanan rambut Shiseido

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - Syarikat barangan pengguna dari Jerman, Henkel telah menandatangani perjanjian untuk mengambil alih perniagaan dandanan rambut profesional milik Shiseido. 

 

Pengambilalihan tersebut merangkumi jenama-jenama profesional seperti Sublimic dan Primience, diiktiraf jenama Shiseido Professional yang dilesenkan. 

 

Shiseido Professional ialah jenama eksklusif salun yang menawarkan produk premium bagi penjagaan rambut, pewarnaan rambut dan kelengkapan dandanan serta penyelesaian keriting rambut untuk pendandan profesional. 

 

Bagi menyokong pertumbuhan perniagaan menerusi pakatan kukuh dengan Henkel, Shiseido akan mengekalkan pegangan 20% dalam syarikat di Jepun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Henkel, Carsten Knobel berkata, urus niaga tersebut menandakan satu kemajuan besar bagi perniagaan dandanan rambut Henkel. 

 

"Dengan meluaskan perniagaan profesional kami di Asia Pasifik, kami bakal menjadi salah satu peserta utama di rantau dinamik ini dengan potensi pertumbuhan yang sangat menarik. 

 

"Langkah ini akan mengukuhkan lagi perniagaan dandanan rambut profesional kami yang sudah pun mencatatkan pertumbuhan kukuh pada tahun-tahun kebelakangan ini dan akan menjadi sebahagian penting di bawah unit perniagaan jenama pengguna kami pada masa depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

shiseido

 

 

Dalam pada itu, Naib Presiden Eksekutif Penjagaan Kecantikan Henkel, Wolfgang König pula berkata, pihaknya mengalu-alukan peluang untuk menambah jenama premium kukuh dan berjaya ke dalam portfolionya. 

 

Jelasnya, perniagaan itu serasi dengan portfolio sedia ada sambil menambah jenama dan kategori dandanan rambut saling melengkapi dengan rangkaian semasa, serta meluaskan kedudukan di pasaran Asia Pasifik yang pesat berkembang.

 

"Pengambilalihan ini akan membolehkan pembinaan platform mempelopori inovasi dan menjana pertumbuhan bagi perniagaan di rantau yang serba menarik dengan matlamat mencapai pertumbuhan serta pembangunan perniagaan lanjut menerusi perjanjian dengan Shiseido. 

 

 

henkel
Jenama produk-produk penjagaan diri, kecantikan dan dobi di bawah syarikat Henkel

 

"Kami akan mengukuhkan kedudukan pasaran kami di Jepun dan China, iaitu pasaran dandanan rambut profesional No.2 dan No.3 di dunia dan pusat trend dan inovasi yang penting," katanya.

 

Perniagaan dandanan rambut profesional Henkel merupakan antara pemimpin pasaran utama di pelbagai segmen pasaran antarabangsa. - DagangNews.com