Oleh MOHD AB MALEK MD SHAH dan SULAIMAN MAHZAN
ISU ‘body shaming’ dalam kalangan warga masyarakat kita bukanlah sesuatu isu yang terpencil sejak akhir-akhir ini.
Terdapat pelbagai ‘modus operandi’ yang diguna pakai oleh sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan jenayah ini; termasuklah menerusi media sosial atau buli siber yang semakin berleluasa tanpa rasa bersalah.
Natijahnya, si mangsa akan mengalami pelbagai kesan negatif dari segi mental dan masalah psikologi termasuklah kemurungan, bersifat pendendam, mudah marah, kehilangan daya keyakinan diri (motivasi kendiri), kecelaruan fikiran, kelesuan tubuh badan dan sebagainya.
Lebih teruk lagi, terdapat kebarangkalian yang si mangsa akan mengambil jalan mudah dengan menamatkan riwayat hidup sendiri akibat tidak tahan dengan tekanan tersebut.
Hakikatnya, perbuatan ‘body shaming’ merentasi agama, bangsa, warna kulit, jantina, sosial, budaya dan sebagainya.
Terdapat pelbagai bentuk ‘body shaming’ yang dikenal pasti termasuklah; ‘fat shaming’ (menghina bentuk fizikal yang obes/ masalah berat badan), ‘skinny shaming’ (masalah bentuk badan yang terlalu kurus dan amat popular dalam kalangan wanita sebagai mangsa), rambut/ tubuh berbulu (masalah rerambut yang tumbuh secara berlebihan dan menimbulkan rasa kurang selesa), warna kulit (sekiranya memiliki tona warna kulit yang terlalu gelap atau pucat) dan sebagainya.
Antara contoh kes yang dilaporkan adalah; seorang pelakon wanita tempatan telah membuat laporan polis terhadap individu kerana terdapat unsur penghinaan dan buli siber terhadap anak angkat beliau menerusi media sosial.
Selain itu, seorang lelaki telah membuat ciapan mengenai rupa fizikal (body shaming) seorang remaja Albino supaya ‘diburu dan dikerat bagi tujuan ritual sihir’.
Di samping itu, seorang personaliti media sosial atau lebih dikenali sebagai influencer telah membuat satu rakaman video secara ‘live streaming’ dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang wanita dan menyamakan bentuk tubuh badan wanita tersebut dengan haiwan denga memaparkan gambar wanita itu dan anaknya sebelum video tersebut tular.
Ini berlaku setelah beliau meninggalkan komen di ruangan komen personaliti terbabit di media sosial. Sejak menularnya paparan video tersebut yang menghina bentuk fizikal beliau di media sosial, beliau telah mengalami tekanan perasaan, trauma, masalah kemurungan dan gangguan emosi yang akhirnya dinasihati oleh peguamnya supaya mengambil tindakan sivil terhadap influencer tersebut di mahkamah.
Namun, influencer tersebut telah membuat permohonan maaf secara tersebut di laman Facebooknya selepas itu dan mendakwa bahawa beliau telah gagal untuk mengawal emosi sewaktu mengeluarkan kata-kata kesat yang bersifat hinaan dan cercaan terhadap si mangsa.
Jika ditinjau dari segi kerangka perundangan, Malaysia secara dasarnya masih agak terkebelakang berkaitan undang-undang ‘body shaming’ termasuklah antibuli siber jika dibandingkan dengan negara jiran yang lain yang lebih spesifik lagi sistematik seperti Indonesia dan Singapura.
Buat masa sekarang, sebarang isu dan aduan berkaitan dengan jenayah buli siber adalah di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Oleh yang demikian, tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan hukuman yang setimpal lagi bersesuaian dengan jenayah tersebut masih kabur dan lemah.
Ini turut melibatkan isu beban pembuktian (onus of proof) oleh pihak mangsa bagi tujuan sabitan kesalahan tertuduh di muka pengadilan; selain daripada tafsiran ‘jenayah’ itu sendiri.
Dari sisi yang lain, antara kerangka perundangan sedia ada yang boleh diguna pakai sebagai punca kuasa bagi rujukan perundangan adalah Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas menyatakan bahawa kebebasan bersuara yang diamalkan di Malaysia bukanlah suatu kebebasan yang mutlak; sebaliknya tertakluk kepada batasan perundangan yang tertentu.
Justeru, sebarang keengganan atau pelanggaran terhadap semua batasan tersebut boleh dihukum; berdasarkan kepada sabitan kesalahan yang telah diputuskan oleh pihak mahkamah.
Selain itu, perbuatan menghina rupa fizikal seseorang menerusi aplikasi teknologi turut boleh didakwa di bawah Seksyen 233 (1) (a) & (b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika didapati bersalah, pelaku yang telah disabitkan kesalahannya boleh dihukum iaitu denda tidak melebihi RM50, 000.00 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) pula memperuntukkan denda yang tidak melebihi RM100 bagi setiap kesalahan.
Kesimpulannya, isu ‘body shaming’ iaitu sindir badan atau perbuatan menghina bentuk fizikal seseorang tidak seharusnya dipandang sepi oleh warga masyarakat pada hari ini; apatah lagi untuk dijadikan sebagai bahan gurauan.
Tindakan proaktif dan komprehensif perlu diambil segera bagi memastikan agar isu ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin; di samping demi menegakkan keadilan buat si mangsa.
Sesungguhnya, adalah menjadi kewajipan setiap individu untuk bersama-sama dalam menjaga hak dan tanggungjawab demi kemaslahatan sejagat menurut lunas-lunas perundangan; selain daripada memastikan agar 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu berkaitan Keamanan, Keadilan dan Pertubuhan Kukuh & Kesihatan Baik dan Kesejahteraan tercapai. – DagangNews.com
Mohd Ab Malek Md Shah adalah Pensyarah Kanan/ Koordinator Jabatan Undang-Undang UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah dan Sulaiman Mahzan adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin